Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
'Kutipan RM90j Mat Kilau bukti filem Melayu boleh berdiri di bumi sendiri'

“Filem Melayu masih boleh berdiri di bumi sendiri dan ia telah terbukti beberapa kali," kata pengarah Syamsul Yusof teruja.

Bercakap mengenai pencapaian filemnya, Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan, Syamsul berkata jumlah kutipan terkini - didakwa sebanyak RM90 juta - adalah petanda baik buat industri sinema tanah air dan penggiat seni tempatan.

“Dengan izin Allah (filem) Mat Kilau raih RM 90 juta dalam masa 33 hari.

“Ayuh semua pengkarya filem, ayuh bersatu demi sama-sama majukan industri seni Malaysia," katanya.

Syamsul juga bersyukur apabila rekod kutipan pecah panggung Malaysia yang tertinggi sebelum ini diungguli filem Hollywood, Avengers End Game, sebanyak RM87 juta berjaya dikalahkan.

Dia juga berbangga apabila kutipan RM48 juta filem arahannya sendiri iaitu Munafik 2 juga berjaya diatasi dalam rekod box office tertinggi 2018.

“Menjadi filem box office Malaysia tertinggi tempatan dan antarabangsa selepas Munafik 2 serta Avengers End Game.

“Air mata syukur… tiada kata melainkan alhamdulillah. Saya dan seluruh produksi amat terharu,” katanya melalui teks pesanan ringkas hari ini.

Tambah mengejutkan, menurut Syamsul, Mat Kikau menjadi filem nombor satu dalam carta box office mingguan untuk lima minggu berturut-turut sekali gus mengetepikan filem besar Hollywood.

“Terima kasih penonton masih terus beri kepercayaan pada karya kali ini dan kesemua filem saya sebelumnya.

“Sejak dari filem pertama hinggalah sekarang. Insya-Allah moga terus diberi ilham untuk filem akan datang,” katanya.

Mengulas tempoh tayangan, Syamsul berkata, filem Mat Kilau akan diteruskan selagi ia menunjukkan respons yang baik dalam kalangan peminat layar perak.

“Masih tayang belum berhenti. Mungkin boleh pergi (tayang) hingga dua bulan lamanya, bergantung. Selagi ada penonton, selagi tu filem Mat Kilau ditayang,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS