Pelakon dan pengarah terkenal Sabri Yunus menjelaskan tulisan yang dipaparkannya di media sosial semalam mengenai isu kesesakan jalan raya di Kelantan tidak ada sebarang unsur politik.
Menurut Sabri tulisannya itu hanya untuk menggambarkan suasana kesesakan lalu-lintas di beberapa lokasi yang ada di Kelantan.
"Kesesakan berlaku di bandar dan pekan, bukanlah di jalan yang memasuki sempadan negeri yang digunakan oleh perantau yang pulang musim raya.
"Penduduk yang menetap dalam negeri memberi sambutan yang sangat baik kepada program yang dianjurkan di Kota Bharu, di Bachok dan tempat lain (secara) serentak. Selama tiga hari berlangsung," katanya.
Semalam satu hantaran dibuat pelakon dan pengarah telefilem Pok Ya Congcodei itu menarik perhatian ramai.
Antara lain dia menulis:
"Kereta lebih banyak terhenti dari berjalan
Kalau pun bergerak sangatlah perlahan
Ini bukanlah musim musim perayaan
Bukanlah kereta motor anak perantauan.
"Dua tiga hari ini besar program diadakan
Di sekitar stadium menjadi tumpuan
Pelbagai aturcara telah dijayakan
Ada informasi juga hiburan"
Ada beberapa program besar yang berlangsung di Kelantan sejak beberapa hari lalu termasuk Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia anjuran kerajaan. Ia berakhir secara rasmi semalam.
Bagaimanapun isu kesesakan jalan raya khususnya semasa musim perayaan bukanlah sesuatu yang asing buat negeri Cik Siti Wan Kembang berkenaan. Ia menjadi lebih ketara apabila tibanya Aidilfitri, Aidiladha, cuti persekolahan atau cuti umum panjang.
Sabri berkata apa yang ditulisnya ada diambil pihak lain namun sebenarnya tidak menggambarkan tujuan sebenar ia dihasilkan.
"Penulisan pantun hanya nak gambarkan kesesakan yang saya alami hari ini (semalam) nak melintasi Kota Bharu ke Tumpat. Itu saja.
"Terima kasih, tiada sebarang kaitan dengan unsur politik," katanya.