Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Dilema pewaris Awang Batil ke pentas teater 
Diterbitkan:  Jul 21, 2022 5:35 PM
Dikemaskini: 9:35 AM

Pertubuhan Kesenian Sanggar Pujangga Negeri Perlis akan mementaskan teater bertajuk ‘Titih’ pada malam esok bagi mengajak orang ramai khususnya golongan muda mengenali warisan seni Awang Batil.

Pengarah teater tersebut Aninda Nurtedja Lan Andika berkata kumpulan teater Pujangga memilih untuk mementaskan teater hasil karya Aina Nabila Ahmad itu sebagai projek sulungnya kerana ia dekat dengan masyarakat di negeri ini.

“Ini adalah satu daripada usaha kami (Pertubuhan Kesenian Sanggar Pujangga Negeri Perlis) memperjungkan warisan seni Awang Batil yang semakin dilupakan oleh generasi muda hari ini, diharapnya ia dapat menarik kembali minat orang ramai terhadap warisan ini,” katanya kepada Bernama ketika melakukan latihan pementasan teater ‘Titih” di  Auditorium Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN)  Negeri Perlis malam tadi.

Aninda Nurtedja berkata teater tersebut mengisahkan tentang penggiat seni Awang Batil bernama Pak Non yang berharap agar seni itu diwarisi oleh anak sulungnya, namun anaknya tidak bersetuju kerana merasa malu untuk menggalas tugas yang dianggap ‘kerja kampung’ itu.

Katanya, Mohd Sani Malik akan membawa watak utama sebagai Pak Non dibantu oleh Ikbar Arif Yaacob yang membawa watak Shuib iaitu anak kepada Pak Non, beliau sendiri sebagai Mak Teh (isteri Pak Non), Muhamaad Shahrul Azrul Muhamaad Syukor sebagai Mat Eil (anak Pak Non yang kurang upaya) dan Saipil  Bahari memegang watak Pak Selamat (kawan Pak Non).

Aninda Nurtedja berkata ini merupakan pertama kali beliau menjadi pengarah teater dan beliau serta 15 pelakon dan kru membuat persediaan rapi sejak empat bulan lepas bagi mementaskan naskhah berdurasi sejam yang turut mendapat sokongan dan kerjasama daripada JKKN Negeri Perlis itu.

“Orang ramai dijemput hadir bagi menyaksikan teater ‘Titih’ secara percuma yang akan dipentaskan pada 8.45 malam esok di Auditorium JKKN Negeri Perlis,” katanya.

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Kesenian Sanggar Pujangga Negeri Perlis Harfaizal Fuaad berkata walaupun baru ditubuhkan pada Oktober tahun lepas, persatuan itu akan berusaha merancakkan semula persembahan teater di negeri ini.

“Satu ketika dahulu persembahan teater di Perlis agak terkenal dan saya harap dapat kembalikan semula keceriaan dahulu yang merupakan hajat pelawak terkenal Allahyarham Yussry Edoo atau lebih kenali sebagai Yus Jambu yang juga seorang daripada penggiat teater di negeri ini,” katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS