Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Nadya Syahera tetap tolak perceraian walau 7 tahun diduga

Menganggap perceraian bukan jalan terbaik buatnya ketika ini, pelakon Nadya Syahera bertekad menolak memikirkan kemungkinan itu walaupun rumah tangganya sudah diuji selama tujuh tahun.

Nadya berkata, dia tidak pernah jemu untuk memberi peluang kepada suaminya, Fizul Nawi, agar memahami beban emosinya menguruskan tiga anak bersendirian.

“Saya tak pernah terlintas untuk minta cerai. Cuma saya tertanya-tanya, bilakah masanya saya akan betul-betul bahagia bersama suami.

“Sejujurnya, tiga tahun pertama kami, saya banyak berendam air mata apabila mengenangkan nasib. Tapi saya tak pernah letih beri dia peluang untuk berubah agar lebih menghargai saya sebagai isteri.

“Memang ada pihak menasihatkan saja untuk berhenti (cerai). Tapi saya tak mahu dengar apa mereka cakap sebab keputusan masih atas diri sendiri,” jelasnya.

Pelakon drama Boyfriend Aku Dari Neraka itu mengakui tanpa komunikasi yang kerap, selain hubungan jarak jauh, menjadi punca ketegangan hubungan rumah tangga mereka hingga menambah kesukaran untuk pasangan terbabit berusaha mengharmonikan perkahwinan berkenaan.

Namun Nadya, 28, menafikan mahu mengaibkan suami sendiri apabila dia meluahkan rasa tidak puas hati dalam rumah tangga mereka baru-baru ini.

“Sebenarnya kami tak bergaduh, cuma berkomunikasi sebab dia bekerja jauh. Panggilan telefon pun sekejap dan dia hanya bertanya fasal perniagaannya di sini.

“Apa saya kongsi di media sosial hanya luahan perasaan supaya suami-suami di luar sana lebih memahami," katanya.

Menurut Nadya suaminya berpendapat sebagai isteri dia harus melakukan tugasan di rumah manakala urusan mencari nafkah diserahkan kepada pihak lelaki.

"Tapi mungkin suami terlupa yang saya juga bekerja,” katanya.

Tak mengharap harta benda

Nadya berkata demikian ketika ditemui pada majlis menandatangani perjanjian memorandum Suke TV bersama platform penstriman iQIYI di Kuala Lumpur kelmarin.

Nadya dan Fizul mendirikan rumah tangga pada 25 Sept 2015. Hasil perkongsian hidup itu, pasangan terbabit dikurniakan Aleena Rose, 5; Mohammad Dayyan, 4; dan Muhammad Barr Adam, tiga bulan.

Terdahulu, aktres itu berkongsi luahan di ruangan Insta Story bahawa dia tertekan menguruskan sendiri tiga anak mereka ekoran Fizul ketika ini sibuk menguruskan ladang buah di Thailand.

Nadya mendakwa, suaminya itu seolah-olah tidak mempedulikan emosi dan tahap mentalnya terutama selepas melahirkan bayi tiga bulan lalu.

Pelakon yang juga terkenal melalui drama Aku Pilih Bahagia itu berkata, dia sebenarnya tidak mengharapkan harta benda tetapi cukup sekadar jika suaminya itu dapat memahami serta meluangkan waktu untuknya.

“Kami sedang cuba perbaiki diri masing-masing. Dan saya harap dia juga dapat fahami isi hati saya.

“Saya bukan nak harta benda, tapi kalau dia dapat luangkan waktu bawa saya makan di kedai mamak saja misalnya pun dah bersyukur sebab kami akhirnya luangkan masa bersama,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS