Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Casablanca lagu tempatan pertama duduki puncak carta Spotify Viral
Diterbitkan:  Jul 15, 2022 6:06 PM
Dikemaskini: 10:06 AM

Casablanca nyanyian Nuha Bahrin dan Naufal Azrin mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi lagu pertama tempatan paling tular dengan menduduki tangga teratas carta Spotify Viral 50 Global dan Spotify Viral 50 Indonesia.

Karya ciptaan Daqmie dan lirik oleh Abdul Karim Al Ali itu juga mendapat tempat pertama di aplikasi JOOX Malay Hits tempat kedua di aplikasi Apple Music Top 100.

Dalam kenyataan bersama, Pengarah A&R & Pemasaran Universal Music Malaysia, Hermond Cheng dan Pengarah Urusan BeeGood Music Amir Hufaz berkata mereka berbangga dengan pencapaian yang diraih sekaligus menjadikan Universal Music Malaysia dan Bee Good Media sebagai syarikat rakaman pertama yang berada di tangga teratas carta Spotify Viral di Indonesia.

“Bagi kami, ini satu pencapaian yang cukup membanggakan bukan saja untuk syarikat rakaman, penyanyi dan juga lagu Casablanca itu sendiri.

“Kami merakamkan jutaan terima kasih kepada semua pendengar, peminat dan pengguna laman sosial sama ada di Malaysia, Indonesia, Singapura, Brunei atau di mana juga kerana mendengar dan menstrim lagu ini hingga tular dan mencetuskan fenomena yang luar biasa,” kata mereka.

Video muzik rasmi Casablanca yang dimuat naik di saluran YouTube Masyhur sudah mencecah lebih lima juta tontonan serta didengar lebih 2.5 juta pengguna Spotify.

Di aplikasi TikTok pula, lagu itu mencecah tontonan 14.1 juta tontonan menerusi #casablancachallenge.

Bagi Nuha, dia tidak menjangka Casablanca akan mendapat tempat yang hebat dalam kalangan peminat di Indonesia.

“Perasaan saya sangat terkejut sebab tak jangka lagu Casablanca sudah sampai ke tahap ini dan dalam masa sama saya teruja dengan projek yang akan datang. Pendek kata, terkejut, teruja dan sangat gembira.

“Apa yang kami dapat sekarang dan sokongan yang diperoleh bukan saja dari peminat tanah air tapi juga daripada Indonesia dan Brunei yang kami tidak menjangkakan sama sekali.

"Nuha amat bersyukur dengan sokongan berterusan daripada peminat,” katanya.

Sementara itu, Naufal bersyukur dengan sambutan diberikan selain tidak pernah menjangka lagu Casablanca boleh mencetuskan fenomena luar biasa.

“Sejujurnya, saya sangat gembira dan teruja.

“Kami sudah buat yang terbaik, dan menyerahkan segalanya kepada Yang Maha Esa. Alhamdulillah Tuhan beri kami rezeki yang tak dijangka. Terima kasih Malaysia dan Indonesia,” katanya.

Ditanya mengenai respons peminat terhadap kerjayanya, menurut Naufal dia sudah mula diikuti peminat baru.

“Sebelum ini ramai juga yang unfollow ataupun menjauhkan diri daripada saya. Tapi Alhamdulillah, selepas keluar lagu Casablanca, pengikut yang baru hadir.

“Insya-Allah, saya akan menjaga semua yang ada dengan saya dari dulu hingga kini. Tidak lupa juga kepada semua yang baru mengenali saya. Saya akan cuba buat yang terbaik untuk mengharumkan nama Malaysia,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS