Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Ali Puteh dakwa tidak terima sesen bayaran
Diterbitkan:  Jul 15, 2022 5:17 PM
Dikemaskini: 9:17 AM

Pelawak Ali Puteh enggan namanya dikaitkan lagi dengan sebuah syarikat pembekal ayam selepas dilantik menjadi duta April lalu.

Katanya, tindakan itu diambil kerana tidak mahu namanya dipersalahkan dalam urusan membabitkan hal bekalan ayam kepada peniaga dan pembeli.

“Saya tak mahu ada pihak yang berdepan dengan masalah apabila berurusan dengan syarikat pembekal itu selepas beberapa isu timbul.

“Jujurnya saya juga kecewa dengan apa yang terjadi apabila perjanjian antara saya dengan syarikat itu tidak berjalan seperti yang sepatutnya,” katanya dalam satu kenyataan.

Juri Awesome Raja Lawak itu mendakwa kesal kerana walaupun sudah memberi sepenuh komitmen selaku duta, dia masih belum menerima bayaran seperti dijanjikan sebelum ini.

Katanya, dia bertambah kecewa apabila banyak peluang kerja terpaksa dilepaskan bernilai puluhan ribu bagi menumpukan perhatian sebagai duta dan usahawan ayam bersama syarikat itu seperti yang diminta.

“Saya terima tawaran kerana diperkenalkan orang seorang kawan yang memang saya kenal dan peluang perniagaan turut ditawarkan bagi saya.

“Saya melihat ia sebagai satu peluang terbaik untuk menjana pendapatan lebih stabil tapi perkara lain yang timbul,” katanya yang mempunyai kontrak sah dengan syarikat terbabit.

Terdahulu, Ali berkata, dia menyertai perniagaan itu sebagai membuka lembaran baru bagi melupakan kontroversi yang pernah menghimpitnya dengan kakak ipar sebelum ini.

Menurutnya, sudah beberapa kali dia cuba mendapatkan penjelasan berhubung isu berbangkit namun tiada jalan penyelesaian.

Katanya, dia tidak menerima sebarang bayaran dan faedah sepanjang bergelar duta meskipun sudah melakukan beberapa komitmen.

“Sedih sebab saya lepaskan banyak tawaran lain untuk fokus pada peluang ni dan saya ada tanggungjawab serta tanggungan.

“Saya terima dan saya percaya ada hikmah cuma saya perlu tampil untuk membuat penjelasan berhubung hal ini.

“Saya enggan masalah timbul dan nama saya terkait apabila syarikat ini membuat urus niaga. Saya tidak mahu ada pihak lain jadi mangsa,” katanya.

Malaysiakini sudah cuba menghubungi syarikat pembekal ayam terbabit namun tidak mendapat sebarang respons.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS