Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
ULASAN | Kadaram Kondan, filem mengenai polis Malaysia yang diharamkan

Membuat filem melawan penjajah tentulah akan mendapat sokongan semua orang. Sana sini heboh diperkatakan, Finas juga memberi dokongan dengan membayar dana jutaan ringgit. 

Tetapi apakah dokongan yang sama juga jika ada filem dibuat menyentuh kekuasaan yang ada hari ni?

Kadaram Kondan, sebuah filem aksi negara India (Tamil) yang menceritakan seratus peratus mengenai suasana di Malaysia, khususnya Kuala Lumpur.

Sepanjang jalan ceritanya, ia turut menggambarkan rasuah dan persaingan sesama kumpulan dalam pasukan polis Malaysia.


Baca: LPF nafi Kadaram Kondan tak ditayang kerana tajuk


Filem terbitan 2018 ini bagaimana pun diharamkan penayangannya di negara ini sehingga hari ini oleh Lembaga Penapis Filem (LPF).

 Filem ini terbitan produser, pelakon dan pengarah terkenal India, Kamal Haasan dan ia diarahkan oleh Rajesh Selva - dilakonkan oleh Vikram, Akshara Haasan dan Abi Hassan. Saya belum berpeluang menonton dan berharap ia segera ada di Netflix.

Kutipan dari ulasan luar negara seperti berikut:

Plot Kadaram Kondan berkisar kepada seorang doktor pelatih Vasu, yang berjaya menyelamatkan seorang pesakitnya, Mr KK dari dibunuh. Selepas itu isterinya yang sedang mengandung diculik dan penculik mahukan KK sebagai tebusan.

Pasukan polis juga mahu menyoal siasat KK kerana dituduh membunuh seorang taikun. Pasukan polis berpecah kepada dua kumpulan - satu kumpulan diketuai oleh seorang pegawai perempuan, Kalpana dan satu lagi diketuai Vincent. 

Kedua-duanya mahukan KK, sama ada hidup atau mati. Silakan anda tonton sendiri untuk mengetahui jalan cerita penuhnya.

Tetapi yang menarik ialah penciptaan karektor-karektor polis yang memakai logo dan uniform rasmi PDRM yang menunjangi filem ini. Sebahagian mereka terjebak rasuah dan dikuasai gengster. Tetapi LPF mengharamkan penyangan filem ini di Malaysia. 

Apakah tema ini salah?

Tema, plot dan adegan seperti ini selalu kita lihat dalam filem-filem Tamil atau Hollywood.  Filem seperti Beverly Hills Cop (AS) dan Gabbar Is Back (India) contohnya menggambarkan rasuah dan salah laku dalam pasukan polis, dan menggunakan logo rasmi polis negara masing-masing. 

Kefahamannya selagi ia tidak dibuat secara sejarah dan dokumentari, ia tetap dianggap filem fiksyen walau pun menggunakan logo dan uniform rasmi polis di sesebuah negara.

Kerana itu, filem-filem ini tidak diharamkan di negara-negara tersebut.

Kadaram Kondan tidak dibenarkan ditayang atas alasan ia menggambarkan imej buruk polis Malaysia. Kenapa LPF tidak mengambil sikap yang sama dengan lembaga penapis filem di India dan AS? 

Apakah LPF tidak dapat membezakan antara filem fiskyen berlatarbelakangkan realiti berbanding filem realiti, duco atau sejarah? 

Juga soalan penting, kenapa LPF harus bertindak bagi pihak polis? Lepaskan saja kerana isu dan tema seperti ini jarang kita lihat dalam filem di sini atau yang dibuat mengenai Malaysia. 

Mana dukungan pihak berkuasa untuk filem-filem seperti ini? Untuk maju, filem harus dibenar menyentuh temadan isu yang menular di kalangan masyarakat.

Penonton di Malaysia tidak harus selamanya disogok dengan emosi, propoganda dan sentimen rasisme. Penonton juga mahu dihidang dengan sesuatu yang serius dan pahit.


ZUNAR ialah seorang kartunis.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS