Pelakon terkenal, Adi Putra, berkata tidak timbul sekelumit pun perasaan negatif apabila kesesuaian dia menggalas watak Mat Kilau dibanding-bandingkan dengan Beto Kusyairy.
Katanya, dia tiada masalah sekiranya ada segelintir pihak berpandangan Beto lebih layak melakonkan watak berkenaan untuk Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan arahan Syamsul Yusof itu.
“Saya puji Beto kerana pada saya dia pelakon yang memang serba boleh dan bagus dalam bidangnya.
“Sejujurnya, saya tak melihat sudut negatif apabila orang ramai membandingkan kebolehan saya dengan Beto untuk membawa watak Mat Kilau.
“Cuma kena ingat, sudah tertulis mengikut takdir Allah bahawa sayalah yang membawakan watak Mat Kilau,” tuturnya.
Tambah Adi Putra, 41, watak Mat Kilau sangat terhad kerana ia berdasarkan fakta-fakta sejarah yang kurang sumber rujukannya.
Justeru pelakon kelahiran Singapura itu memahami sekiranya sukar bagi dia hendak membeli jiwa penonton dengan watak tersebut.
Namun katanya ia adalah antara cabaran seorang pelakon dan dia perlu menyesuaikan lakonan itu dengan tahap kemampuan sedia ada.
“Jadi saya faham sekiranya sukar untuk meyakinkan mata dan jiwa mereka terhadap apa yang cuba saya sampaikan,” katanya pada sesi khas bersama media yang diadakan di hotel Seri Pacific Kuala Lumpur, semalam.
Bagaimanapun, pelakon KL Gangster itu berkata, setiap seorang pelakon mempunyai kaedah tersendiri untuk menghidupkan watak yang diberikan.
Tak rasa kesal
Sehubungan itu, bagi Adi Putra, tidak wajar timbul persoalan siapa lebih layak menjayakan karakter sejarah itu.
“Saya kenal Beto dah lama. Hanya orang luar yang buat perbandingan. Jadi saya rasa, tak ada sesiapa antara kami yang merasakan diri lebih layak untuk watak Mat Kilau tu.
“Bagi saya, seorang pelakon yang serba boleh harus dinobat supaya masyarakat tak lupa. Pelakon baru pun kini silih berganti, jadi, nak simpan untuk diri sendiri, tu tak adil,” katanya.
Adi Putra pada masa sama berkata, dia tidak menyesal pernah menolak dua kali lamaran menjayakan Mat Kilau ekoran bimbang dengan cabaran untuk mengangkat watak tokoh pejuang dari Pahang itu.
Dia memberitahu hanya selepas ditawarkan kali ketiga dia menerima 'lamaran' berkenaan lantas membuat rujukan dengan bertanya kepada waris-waris Mat Kilau yang masih hidup.
“Tolak pada peringkat awal, saya tak rasa kesal, tapi lebih kepada rasa takut sebab Mat Kilau itu nama tokoh yang sangat besar.
“Saya terima lepas bertemu waris Mat Kilau. Untuk memudahkan saya menghidupkan watak tu, saya persiapkan diri dalam ilmu persilatan, keagamaan dan sejarah,” katanya.