Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Afdlin tarik balik sokongan lepas lihat aksi 'jijik' di Crackhouse
Diterbitkan:  Jul 14, 2022 5:22 PM
Dikemaskini: 9:23 AM

Afdlin Shauki yang pernah membantah penutupan Crackhouse Comedy Club (Crackhouse) hari ini mengubah pendirian selepas memperoleh bukti-bukti berlaku aksi yang dianggap menghina Islam di situ.

Pelakon dan pelawak itu berkata, dia harus bertegas dan tidak sesekali akan berkompromi terhadap sebarang perbuatan menghina agama di pentas lawak.

“Berdasarkan info-info yang terkini yang telah diberi kepada saya oleh rakan-rakan dan seperti yang saya terangkan semalam di live bersama Amin Idris, saya dengan sekeras-kerasnya terus mengecam apa-apa perbuatan menghina agama di pentas lawak.

“Walaupun hanya segelintir, jika ianya berterusan akan menjadi barah.

"Perbuatan-perbuatan seperti di atas yang dibanggakan membuat saya rasa jijik dan saya tak boleh lagi memberi sokongan kepada Crackhouse," katanya.

Afdlin menyatakan pendirian itu melalui kenyataan di media sosialnya.

Baru-baru ini beberapa pelawak berpendapat tidak wajar pihak berkuasa menutup sementara kelab berkenaan hanya kerana aksi kontroversi seorang wanita yang dilihat menghina Islam dalam persembahannya.

Terima balasan kalau salah

Menggunakan perbandingan, Afdlin menganggap tindakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur itu seperti menghukum sebuah kolam renang atas tindakan seorang perenang yang mengambil steroid.

Katanya Crackhouse merupakan tempat banyak pelawak baru mempelajari seni komediri.

Mengiringi hantaran Afdlin hari ini ialah gambar seorang pelawak menghulurkan tin didakwa bir untuk dibuka seorang wanita bertudung.

Menurut Afdlin, sebelum ini dia memberikan sokongan kepada lokasi tersebut dengan memikirkan kelangsungan rezeki pelawak-pelawak yang kebanyakannya boleh memberikan persembahan yang baik.

Pemilik nama penuh Afdlin Shauki Aksan itu juga menitipkan pesan agar pelawak-pelawak komediri mencari lokasi alternatif untuk meneruskan kerjaya mereka.

“Benda ni takkan selesai awal dan seharusnya kita biarkan pihak berkuasa buat kerja mereka dan jika mereka bersalah, mereka mestilah menerima pembalasannya.

“Abang mendoakan agar adik-adik pelawak yang terkesan sentiasa dilindungi sewaktu dugaan ini dan rezeki korang (kalian) terus murah," sambungnya.

Menjelaskan isu itu lebih lanjut, Afdlin berkata, semua orang bergantung kepada maklumat yang diterima untuk menentukan sikap.

"Pada ketika ini, informasi ni membuat abang tak boleh lagi menyokong agar Crackhouse terus dibuka,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS