Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Sebagai ketua cabang, Altimet mahu satukan semua ahli PKR Ampang
Diterbitkan:  Jul 9, 2022 10:11 AM
Dikemaskini: 3:28 AM

Penyanyi rap Altimet berkata dia akan menjadikan usaha menyatupadukan semua anggota PKR Ampang sebagai tanggungjawab pertamanya sebagai ketua cabang.

Altimet, atau nama sebenyar Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad, berkata demikian dalam kenyataan semalam, susulan pengumuman kemenangannya dalam pemilihan semula bagi cabang itu, selepas keputusan asal dibatalkan.

"Dengan rasa rendah diri, tanggungjawab pertama saya sebagai ketua cabang adalah untuk menjernihkan hubungan antara semua pasukan dan merapatkan saf semua ahli cabang demi memperkukuhkan jentera parti bagi menghadapi PRU ke-15.

"Ini merupakan satu tanggungjawab yang besar untuk digalas oleh sesiapa pun, apatah lagi seorang yang dilihat sebagai masih setahun jagung dalam arena ini.

"Tetapi ini bukan satu tugas untuk seorang individu, ini merupakan usaha bersama ahli yang menjiwai semangat parti reformis PKR," katanya.

Altimet juga berkata berdasarkan keputusan rasmi pemilihan yang akan diumumkan dalam kongres parti akhir bulan ini, barisan kepimpinan PKR Ampang akan dibarisi individu yang "bertenaga dan pengalaman".

"Saya yakin barisan ini mampu menerajui pergerakan parti di dalam kawasan ini dengan cemerlang," katanya lagi.

Kiraan asal sebelum ini menunjukkan Daing Muhammad Reduan Bachok mendahului persaingan dengan 942 undi, menewaskan pelakon Hans Isaac yang meraih 609 undi dan Altimet dengan 589 undi.

Namun, ekoran aduan salah laku, Jawatankuasa Pemilihan PKR melancarkan siasatan sebelum mendapati Daing terlibat dengan pembelian undi dan mengumumkan dia kehilangan kelayakan bertanding.

Pemilihan semula dibuat pada 29 Jun lalu.

Sehari kemudian, keputusan tidak rasmi menunjukkan Hans mendahului dengan 748 undi, diikuti Altimet dengan 746 undi.

Dalam keputusan akhir yang disiarkan malam tadi, kiraan menunjukkan Altimet mendapat 743 undi manakala Hans di tempat kedua dengan 734 undi.

Pemilihan semula itu turut menyaksikan tiga lagi calon bertanding jawatan ketua cabang PKR Ampang iaitu Abdullah Md Zain, Sam Hoo Wai, dan Abdul Latif Shaari, manakala seorang lagi calon Abdul Halim Mohamed Yusof telah menarik diri daripada bertanding.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS