Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Cukai hiburan 10 peratus saja sudahlah - Zahidi
Diterbitkan:  Jul 8, 2022 11:52 AM
Dikemaskini: 3:52 AM

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Zahidi Zainul Abidin menggesa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk mengurangkan kadar peratusan cukai hiburan sebanyak 25 peratus.

Zahidi berkata dia menyokong tindakan penggiat seni memperjuangkan peratusan cukai hiburan dikurangkan memandangkan kadarnya yang tinggi pada masa ini.

“Perkara ini memanglah patut diperjuangkan oleh penggiat seni, penggiat filem dan juga masyarakat. Saya berterima kasih kepada masyarakat kerana mereka prihatin tentang cukai ini.

“Jadi sekarang ini kita tengah nak buat dasar filem negara, kalau boleh kita minta Pihak Berkuasa Tempatan janganlah kenakan cukai yang tinggi sangat,” katanya dipetik Harian Metro.

Tegas Zahidi, 10 peratus sudah memadai jika mahu dikenakan kerana kadar cukai hiburan yang terlalu tinggi akan membantutkan perkembangan industri seni tanah air.

“Sekarang ini mereka kena bayar cukai 25 peratus dekat PBT. Kita nak membantu penggiat seni dan filem negara, tapi kalau PBT caj cukai hiburan tinggi sangat maka ia salah satu usaha membantutkan perkembangan filem dan hiburan kita.

“Kadang-kadang orang yang buat 'buskers' (menyanyi di jalanan) pun mereka caj mahal. Ini satu perkara yang tidak patut. Jadi saya bersama kerajaan negeri akan pergi berbincang dengan PBT berkenaan ini. Tetapi bukan semua PBT macam itu, sesetengah saja.

“Kalau boleh sepuluh peratus sudahlah. Jadi, kita pun tengah berbincang sekarang ini,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS