Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan

Mungkin ramai tidak menyedari bahawa keindahan seni tradisi batik yang sinonim dengan negeri di Pantai Timur boleh diterokai di tengah kepesatan ibu kota sebagai aktiviti santai hujung minggu yang menghiburkan dan lebih bermakna. 

Beroperasi sejak 10 tahun lepas di Pasar Seni, di sini, pemilik bersama Ainna Artwork, Muhammad Nabil Iqbal Ibrahim, 32, berkata perniagaan bersama isterinya, Ainna Fareha Mohd Alias, 33, bermatlamat memberi peluang kepada warga kota merasai pengalaman mencanting dan mewarna batik di ibu kota selain sebagai usaha mengekalkan seni warisan tersebut. 

Menurut Muhammad Nabil Iqbal, pihaknya menawarkan pelbagai corak batik sama ada untuk dicanting atau diwarna termasuk motif flora, fauna dan pemandangan selain boleh menempah khas corak lain yang diingini. 

“Corak paling laris antaranya bunga raya, wau, penyu serta corak lain yang senang untuk dicanting atau diwarnakan. Corak ada yang senang dan ada yang susah (dicanting atau diwarnakan), mengikut kesesuaian umur,” katanya.

Menurutnya, bengkel itu turut menawarkan kelas mewarna dan mencanting batik yang biasanya diadakan pada hari bekerja untuk sesiapa berminat mempelajari menghasilkan karya batik sendiri dengan harga RM40 sejam.

Katanya, harga untuk mencanting atau mewarna batik pula adalah RM20 hingga RM30 mengikut saiz kanvas iaitu RM20 untuk ukuran 20x20 sentimeter (cm), RM25 untuk ukuran saiz A4 dan RM30 untuk ukuran 30x30cm.

Muhammad Nabil Iqbal berkata, bengkel tersebut menerima sekurang-kurangnya 50 orang pelanggan sehari dan dibantu empat pekerja. 

Dia juga berpendapat aktiviti tersebut kini semakin mendapat tempat dalam golongan muda bagi aktiviti santai sama ada bersama rakan, keluarga mahupun pasangan.

Sementara itu, pelancong dari United Kingdom, Ellie Wellman, 20, yang pertama kali mengunjungi galeri itu berpendapat selain menyeronokkan, aktiviti tersebut juga membuatkan dirinya berasa tenang.

“Ini bukan kali pertama saya merasai pengalaman mewarna atau mencanting batik, saya pernah melakukannya ketika di Langkawi, Kedah, tiga tahun lepas," katanya yang meminati corak batik dengan disifatkan cantik dan unik. 

Nurul Nashuha Ab-Rahman, 24, dari Kelantan pula berpandangan aktiviti tersebut sesuai dilakukan bersama rakan bagi mengisi masa lapang.

Katanya batik dihasilkan juga mempunyai nilai sentimental tersendiri yang boleh disimpan sebagai kenangan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS