Aeril Zafrel tidak menganggap tindakannya menikmati juadah berharga £1,791.70 (RM10,065) di restoran milik cef popular, Salt Bae, di London sebagai sesuatu yang membazir.
Katanya, selama dua tahun dia mengumpul wang sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) untuk melancong ke luar negara bersama isteri dan rakan-rakan.
Justeru, bagi pelakon itu, menikmati stik dengan harga sedemikian adalah berbaloi untuk dibayar.
“Jika terlalu berkira-kira nak bercuti, baik tak payah bercuti. Saya tak rasa ia membazir kerana dah alang-alang di sana, rugi kalau tak menikmati masakan cef seperti Salt Bae.
“Sama juga kalau berada di Turki, saya tetap akan pergi menikmati stik di restoran Salt Bae yang ada di situ," katanya mengenai cef popular yang memiliki nama sebenar Nusret Gökçe itu.
Tambah Aeril, dia dan isterinya, Wawa Zainal, bukanlah pergi melancong setiap bulan, dan percaya ramai orang lain yang mengumpul wang untuk pergi bercuti selepas terperap di rumah gara-gara PKP.
“Lagipun, kami makan dan apabila bayar, kongsi beramai-ramai. Saya bukan bayar guna wang kami semata-mata untuk hidangan tersebut,” katanya.
Tambah Aeril, caj yang dikenakan mengikut nilai mata wang pound sterling itu sebenarnya berpatutan, namun menjadi mahal apabila nilainya ditukar kepada ringgit Malaysia.
“Ada juga cas tersembunyi, macam bayaran untuk Salt Bae memotong daging dan aksinya menabur garam mempunyai kadar bayaran tertentu. Untuk aksi itu saja, sudah bernilai RM1,000.
“Semuanya berbaloi disebabkan saya belum pernah menikmati stik seenak itu. Pada saya, pengalaman disaksikan ketika itu tak boleh dibeli dengan wang ringgit,” katanya.
Boleh tengok di media sosial
Aeril berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran dan tayangan filem Musyrik - Api Neraka Menantimu! di sebuah kompleks beli-belah di Petaling Jaya semalam.
Naskhah genre seram arahan Arjin Uppal itu berkisahkan Aril (Aeril) sebagai suami yang cepat panas baran. Sikapnya itu bertambah buruk apabila perniagaannya ditimpa masalah.
Antara pelakon lain yang turut menjayakan karya itu ialah Ruhainies, Aishah Ilias, Qaseh Shuhada, Neera Azizi dan Arwan Umar. Filem itu menjengah pawagam seluruh tanah air bermula hari ini.
Bagaimanapun, Aeril, 33, pada masa sama menafikan dakwaan segelintir pihak yang menuduh dia bersikap riyak kerana memuat naik detik-detik percutian itu di media sosial.
Katanya, tidak salah jika dia sekadar merakam detik manis dalam hidup untuk dibuat sebagai kenangan.
“Memang boleh simpan saja dalam telefon genggam, tapi jika alat peranti tu rosak atau hilang, kita masih boleh tengok di Instagram,” jelasnya.
Sementara itu, Aeril berkata, dia akan merancang dengan lebih teliti sebelum pergi bercuti lagi selepas kos percutiannya ke Switzerland menelan belanja RM40,000.
Katanya, dia bukan berbelanja mewah untuk membeli barang, sebaliknya disebabkan perancangan saat akhir untuk membayar kos tempat tinggal, makanan, pengangkutan dan sebagainya.
"Dari lapangan terbang ke hotel penginapan saja menelan belanja RM5,000,” katanya.