Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Rizman Ruzaini buktikan jenama RR bukan 'R&R' di lebuh raya

Sepanjang tempoh 17 tahun membina empayar, dua pereka fesyen yang dikenali dengan jenama Rizman Ruzaini banyak kisah perit jerih, jatuh bangun dan kisah lucu dikongsi di sebalik logo monogram RR mereka.

Rizman Nordin berkata, suatu ketika dulu tiada sesiapa percaya impian mereka untuk bergabung sebagai satu pasukan dan membentuk jenama fesyen seperti dilakukan pereka Itali, Dolce & Gabbana (D&G) mampu terlaksana.

Menurutnya ada segelintir pihak malah hanya mentertawakan hasrat yang diluahkan mereka.

“Kami belajar dalam satu kelas di UiTM Seri Iskandar, Perak. Seiring jenama ni membesar dan matang, begitu juga persahabatan kami sejak merancang untuk hasilkan jenama RR.

“Saya ingat lagi, pada era tu belum ada dua pereka fesyen tanah air yang bekerjasama sebagai pasukan tapi di persada antarabangsa, sudah ada ramai, misalnya D&G.

“Ada orang gelakkan RR ni macam hentian R&R lebuh raya, tapi sekarang, kami dah buktikan mereka salah,” kata usahawan itu bangga.

Ruzaini - atau nama penuhnya Wan Mohd Ruzaini Wan Jamil - pula berkongsi pengalaman paling tidak dapat dilupakan apabila air mata mereka tumpah apabila menyaksikan busana RR disarung penyanyi tersohor negara, Siti Nurhaliza Tarudin.

Rasa bagai keluarga

Ketika itu katanya mereka masih di tahun akhir pengajian apabila mendapat panggilan daripada pengurus Siti Nurhaliza, Rozi Abdul Razak.

Rozi, kata Ruzaini, memberitahu yang Siti Nurhaliza berminat untuk mencuba jenama mereka.

"Kami gaduh-gaduh juga sama ada perlu buat atau tidak.

“Akhirnya Siti Nurhaliza pakai baju yang kami cipta untuk Anugerah Industri Muzik. Semasa Siti Nurhaliza buat persembahan, kami di bawah pentas berpeluk sambil menangis,” ujarnya.

Rizman menjelaskan, rancangan mereka dalam konteks fesyen amat besar, antaranya menyumbang kepada masyarakat dengan menjadikan RR sebagai medium bersama.

Tambahnya, jika dulu RR terkenal dengan rekaan busana dan pengantin eksklusif, kini mereka ingin memastikan konsep fesyen ready-to-wear, ilham yang tercetus semasa perintah kawalan pergerakan (PKP) agar ia lebih dekat dengan semua golongan masyarakat.

“Sebelum ni peminat ingat jenama ni hanya menjadi pilihan untuk selebriti atau golongan atasan saja sebab berasakan ia mahal.

“Ia bukan pasal duit, tapi menjadikan jenama ni medium bersama; pembeli yang memakai jenama ni akan rasa bagaikan sebuah keluarga. Logo RR adalah lambang kesatuan dalam konteks fesyen,” jelasnya.

Rizman berkata demikian ketika ditemui pada majlis ulang tahun pertama RR Mono Scarves di Bukit Bintang baru-baru ini.

Sempena sambutan itu tujuh selebriti iaitu Ziana Zain, Izara Aishah, Aina Abdul, Amyra Rosli, Kilafairy, Hawa Rizwana dan suri hati Rizman, Nurida Suraya, dilantik menjadi wajah kempen bagi koleksi tudung itu.

Pada majlis sambutan itu juga RR mengumumkan pemenang Face of RR Hijab yang membawa pulang wang tunai beserta kontrak bersama jenama RR bernilai RM10,000.

Mengulas harapannya untuk mempersiapkan jenama RR agar lebih dikenali penggemar fesyen antarabangsa, Rizman berkata, mereka merancang untuk mengadakan persembahan fesyen secara besar-besaran di ibu kota pada Sept depan.

Menurutnya, ia sekali gus bertujuan mendidik perintis fesyen tanah air bahawa jenama tempatan mampu bersaing dalam pasaran global.

“Kami berhasrat ingin mengadakan persembahan fesyen ala-ala di Paris, tapi bertempat di Kuala Lumpur.

“RR akan buka casting (pemilihan) untuk model kepada semua bangsa, tak kira kurus, tinggi atau pendek. Pada masa sama, kami akan selitkan wajah-wajah model terkenal seperti Nasha Aziz.

Fashion for all (Fesyen untuk semua). Kami mahu martabatkan fesyen tempatan sama macam antarabansa.

"Niat kami nak didik jenama tempatan agar berfikir mereka mampu bersaing seiring jenama antarabangsa tapi melalui harga mampu milik,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS