Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Ira Kazar diarah kemuka pembelaan saman isteri Syamsul
Diterbitkan:  Jul 4, 2022 2:42 PM
Dikemaskini: 8:02 AM

Wanita yang didakwa mengganggu rumah tangga pengarah filem, Syamsul Yusof, dan isterinya, Puteri Sarah Liyana, diarah memasukkan pernyataan pembelaan terhadap tuntutan saman dikemukakan terhadapnya dalam tempoh sebulan.

Perkara itu dimaklumkan peguam Akberdin Abdul Kader yang mewakili Puteri Sarah selaku plaintif selepas pengurusan kes berlangsung di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Rofiah Mohamad, hari ini.

“Mahkamah mengarahkan pihak defendan masuk penyataan pembelaan dalam tuntutan saman dalam tempoh sebulan.

“Jika perlu, plaintif akan menjawabnya. Jika tidak, mahkamah akan menetapkan tarikh bicara," katanya.

Akberdin berkata, mahkamah menetapkan 23 Ogos depan untuk seterusnya bagi kes tersebut.

Pada masa sama, Akberdin memberitahu, mahkamah mengekalkan perintah interim injuksi terhadap defendan, Ira Kazar, termasuklah melarang dia mengeluarkan, menyebarkan dan menghantar kenyataan atau apa saja bentuk gangguan terhadap Puteri Sarah dalam media sosial hingga perbicaraan kes berlangsung sepenuhnya.

Akberdin Abdul Kader

“Pihak defendan tidak membantah dan perintah interim injuksi dikekalkan mahkamah,” jelasnya yang dipetik BH Online.

Puteri Sarah, 36, pada 30 Jun lalu memfailkan tindakan saman ke atas Ira di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dan dua aduan di pejabat agama terhadap wanita terbabit yang didakwa menjadi kekasih Syamsul.

Mengulas sama ada kes saman berkenaan mungkin boleh diselesaikan secara baik oleh kedua-dua pihak, Akberdin berkata, setakat ini belum ada petunjuk ke arah itu lagi.

Malah katanya jika ada sebarang petanda usaha tersebut cuba diusahakan, pihaknya akan menelitinya terlebih dulu sebelum memberi sebarang keputusan.

"Bukan meninggi diri, (tapi) asalkan tawaran logik, kita mungkin mempertimbangkan selepas mendapat arahan anak guam (Puteri Sarah),” katanya.

Selain Akberdin, Puteri Sarah turut diwakili Siti Natasha Basheer Hassan dan Ummi Kartini Abd Latiff.

Bagaimanapun, Puteri Sarah dan Ira tidak hadir dan diwakili peguam masing-masing.

Sementara itu, peguam Ira, Ammar Ghalip mengesahkan pihaknya akan memasukkan pembelaan pada atau sebelum 4 Ogos ini.

“Saya sudah memasukkan dan menyerahkan kehadiran kepada plaintif. Hari ini mahkamah mengesahkan defendan melantik peguam dan kehadiran dimasukkan pada Jumaat lalu,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS