Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Neelofa gembira niqab jadi ruang dakwah, diterima jenama mewah

Hampir dua tahun tampil berniqab, Neelofa menyatakan rasa syukur apabila berasakan penampilannya itu sedikit pun tidak mengehadkan ruang untuk menggayakan fesyen jenama mewah antarabangsa.

Selebriti dan pengacara itu berkata, apabila ada pihak tidak menolak imej digayakannya, ia sekali gus boleh menjadi ruang dakwah kepada masyarakat luar.

“Inilah pakaian wanita Muslimah selain daripada bertudung yang kita boleh kongsikan,” katanya.

Juara Dewi Remaja 2009/2010 itu juga mengakui “terkejut” kerana dia masih diundang untuk tampil memenuhi undangan di beberapa stesen televisyen tempatan walaupun sudah menukar imej.

“Saya terkejut dan tersentuh sebab stesen TV seperti Nona dan Astro berlapang dada untuk menerima mereka yang berniqab atau berpurdah sebagai pengacara,” tuturnya.

Neelofa berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran Naelofar X Disney Alice In Wonderland di di Putrajaya baru-baru ini.

Untuk rekod, Neelofa dilihat mula tampil berniqab sejak 15 Okt 2020.

Diminta mengulas perancangannya ke tanah Arab bersama suami, pendakwah bebas, Muhammad Haris Mohd Ismail, Neelofa berkata, dia sedang mempertimbangkan segala pilihan yang ada untuk menetap di sana.

Katanya, antara perkara perlu dititikberatkan adalah dari segi pengurusan perniagaannya di sini dan pilihan pendidikan yang ada untuk wanita di sana.

“Kalau dilihat sesuai untuk tinggalkan perniagaan dan bawa keluarga ke sana, kami akan teruskan dengan pengajian yang lebih panjang.

“Haris nak mendalami ilmu hadis. Dia menyatakan hasrat kembali ke Mesir untuk menyambung pengajian sekurang-kurang setahun atau dua tahun di situ.

“Impian saya pula adalah ingin mempelajari bahasa Arab. Apabila mahir berbahasa Arab, ia memudahkan saya untuk membaca al-Quran,” jelasnya.

Sementara itu, berkongsi mengenai koleksi Naelofar x Disney Alice In Wonderland, Neelofa berkata, ia bukanlah kerjasama mereka yang terakhir.

Katanya dia kini sedang mengusahakan kolaborasi yang ketiga dengan mereka.

“Saya memilih tema Alice In Wonderland sebab belum pernah lagi nampak pereka tempatan lain menghasilkan karakter itu dalam rekaan mereka.

“Sewaktu koleksi pertama, Little Mermaid, dilancarkan Feb lalu saya tak dapat hadir kerana berpantang. Ini bukan rekaan terakhir, akan ada lebih banyak lagi selepas ni,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS