Pada 8 Sept 2019 saya menulis mengenai sasterawan negara di Malaysiakini, lalu beberapa reaksi diterima, termasuk yang mengatakan saya sadis, tidak berjiwa seni, dan tidak layak menjadi orang sastera, justeru tidak wajar menulis mengenainya.
Saya ada alasan untuk menulis sedemikian kerana sasterawan negara ketika ini memang bagai tidak ada apa-apa. Peranan dan fungsi mereka tidak jelas.
Kerajaan pula sekadar memberi penghargaan dan gelaran kepada seseorang penulis namun tokoh berkenaan tidak dimanfaatkan.
Kerajaan berbaik hati lagi tahun ini apabila memilih seorang penulis untuk diangkat sebagai sasterawan negara yang ke-15. Pun begitu saya yakin gelaran sahaja tidak akan ke mana-mana kerana kerajaan pun tidak peduli untuk mengambil idea dan akal sasterawan dalam perancangan serta pelaksanaan dasar negara.
Sekadar pilih sasterawan negara, beri anugerah, majlis bersama Yang di-Pertuan Agong, sediakan wang tunai, ganjaran pencen dan wad kelas satu, itu semua bukan bukti keikhalasan kerajaan terhadap sastera.
Akal, ilmu dan pengalaman hidup sasterawan negara itulah yang sepatutnya dimanfaatkan.
Tokoh yang dipilih wajar dimanfaatkan. Lantik sasterawan negara sebagai senator atau pakar perunding budaya dan kesenian di mana-mana syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang sesuai.
Menjarah fikiran rakyat
Tokoh seperti Anwar Ridhwan, Baha Zain dan Muhammad Haji Salleh misalnya boleh dibawa ke sidang global bercakap tentang kemanusiaan dan hak asasi manusia di dunia ketiga.
Malangnya sasterawan negara ini kita diabaikan kerana kerajaan lebih melihat kepada orang politik dan pakar kewangan untuk membawa Malaysia ke persada global. Kerana kesilapan itulah orang seperti Tajuddin Abdul Rahman dilantik duta Malaysia ke Indonesia, dan Abdul Hadi Awang dilantik sebagai duta bertaraf menteri.
Kerajaan melantik tokoh politik sebegitu walaupun kualiti kepemimpinan mereka terus dipertikaikan orang.
Akhirnya sasterawan negara menjadi pengiktirafan untuk orang sastera dan kaki bodek seni yang tidak ke mana-mana, sedangkan negara terus ditadbir oleh ahli politik dan kroni mereka. Orang politik juga bersekutu dengan sektor korporat untuk membantu neofeudalisme dalam negara.
Mereka menjarah hasil bumi di atas nama pembangunan. Politik dan kapitalisme adalah acuan yang dibentuk oleh pembuat serta pelaksana dasar. Mereka sekularisme yang menjarah hasil bumi dan fikiran rakyat.
Sasterawan dan seniman pula jauh di belakang kerana kekuasaan adalah keuntungan dalam bentuk material.
Apabila sasterawan negara yang baru diumumkan, tidak banyak reaksi daripada ahli masyarakat dapat dilihat. Hal itu kerana kita tahu sasterawan hanyalah alat kepada penguasa lemah untuk mendapatkan sokongan daripada pembodek dalam kalangan penggiat sastera dan bahasa yang berpura-pura sebagai pejuang bangsa.
Pembodek itu pula adalah spesies yang kononnya lahir bersama timbunan kertas ijazah, tapi realitinya tidak mampu menggunakan akal bagi melahirkan pemikiran besar buat bangsa Malaysia.
Pada masa sama sasterawan negara pula tersenyum bersama ganjaran bulanan RM5,000 sedangkan kepentingan anugerah berkenaan kepada masyarakat masih misteri.
Berhak diadili masyarakat
Beberapa nama yang dikaitkan untuk bergelar sasterawan negara tahun ini tidak berhasil. Zaen Kasturi atau SM Zakir ialah antara penulis yang sepatutnya sudah bergelar sasterawan negara. Faisal Tehrani juga tidak terkecuali berdasarkan hasil yang boleh diperhatikan.
Namun mereka terus tercicir kerana alasan yang kekal misteri. Pengumuman sasterawan negara pun misteri juga, kerana ia berlaku secara 'tiba-tiba' saja. Tidak cukup dengan itu dunia kita semakin misteri tiada siapa yang tahu proses pencalonan dan penilaian.
Tidak ramai yang tahu siapakah panel penilai sasterawan negara tahun ini, apakah ukuran untuk seseorang itu layak digelar sasterawan negara.
Apabila keputusan sudah dibuat, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), panel penilai dan kerajaan harus bertanggungjawab terhadap pemilihan mereka. Sasterawan yang terpilih sudah tentu berhak untuk diadili oleh masyarakat kerana kualiti karyanya berada di tangan pengkritik, sarjana atau penilai hadiah sastera.
Memilih sasterawan negara tidak sama dengan memilih ratu kebaya di Kampung Pisang. Sastera dilihat pada gagasan seni, nilai estetika, pemikiran, bahasa dan olahan karya. Karya yang baik tidak sama dengan tulisan picisan.
Sebelum Siti Zainon Ismail terpilih sebagai sasterawan negara pada 2019, seramai 13 tokoh sudah dinobatkan iaitu Keris Mas (1981), Shahnon Ahmad (1982), Usman Awang (1983), A Samad Said (1985), Arena Wati (1987), Dr Muhammad Haji Salleh (1991), Noordin Hassan (1993), Abdullah Hussain (1996), Dr S Othman Kelantan (2003), Dr Anwar Ridhwan (2009), Kemala (2011), Baha Zain (2013) dan Zurinah Hassan (2015).
Walaupun lebih sedozen, masyarakat hanya melihat beberapa orang daripada mereka. Samad dilihat kerana Salina dan Hujan Pagi. Usman kerana puisi-puisi dalam Salam Benua yang meluaskan akar jati diri dan puitis Melayu. Shahnon kerana Kampung Dedap yang pasrah dalam Ranjau Sepanjang Jalan.
Anwar dan Baha kerana kekuatan cerpen dan puisi mereka yang menjadi karya pascamerdeka. Unsur intelektual dan kekuatan bahasa menghidupkan karya mereka sebagai mewakili zaman.
Jika tidak ada yang layak bergelar sasterawan negara, lebih wajar penganugerahan tidak diadakan sekerap sekarang kerana keunggulan sesebuah hasil pemikiran bangsa bukan datang setiap tahun.
Masih dianggap ‘muda’
Penulis yang bagus juga bukan lahir sepanjang bulan. Jika Zaen, Zakir atau Faisal tidak layak, carilah penulis yang lebih layak kerana nilai dan keunggulan sasterawan negara itu perlu dipertahankan.
Dalam sejarah persajakan di Malaysia, selain nama Usman, Muhammad dan Baha, karya A Latiff Mohidin dan T Alias Taib juga menjadi ikon perpuisian tempatan. Bahasa, adunan bentuk dan isi mereka berdua jauh mengatasi penulis lain.
Malang sekali apabila T Alias sudah tiada, namun tidak salah untuk panel memberi fokus kepada A Latiff Mohidin.
DBP sebagai birokrat seni yang dipertaruhkan harapan untuk kemajuan bahasa, sastera dan penerbitan wajar melihat sasterawan negara sebagai ikon negara.
Pertama sekali, kenal pasti juri anda. Pastikan ada campuran watak lama dan baru. Seeloknya lantiklah mereka yang masih mengkaji serta mengikuti perkembangan semasa, bukannya kelompok yang sudah lama bersara.
Apa guna melantik juri jika pengetahuan mereka hanya terhad kepada perkembangan sastera tahun 1980-an? Adakah wajar pengarang besar masa kini seperti Zaen - yang sudah pun melepasi usia 50 tahun - masih masuk kategori penulis muda?
Bukan sekali dua DBP ditegur dalam isu sasterawan negara. Namun kerap kali juga DBP tidak ambil peduli. Mungkin disebabkan mereka memilih atas dasar calon akhir sahaja.
Kita juga tahu ada orang kanan DBP sedang ghairah dalam isu memartabatkan bahasa Melayu yang kononnya dapat restu kerajaan Keluarga Malaysia.
Mereka yang dulunya penat berlari-lari ke pejabat Anwar Ibrahim dan beberapa tahun kemudian ke pejabat Saifuddin Abdullah kini tentunya mengharapkan sesuatu yang lain pula.
Mereka melihat politik sebagai kuasa yang boleh membahagiakan pejuang bahasa dan sasterawan, sedangkan pimpinan Pakatan Harapan, Perikatan Nasional dan BN melihat isu bahasa dan sastera sebagai hanya benda kecil.
Memang sasterawan negara yang terbaru sudah ada. Namun ia kelihatan tidak penting di mata penguasa kerana berebut jawatan dan habuan jauh lebih penting khususnya menjelang Pilihan Raya Umum ke-15!
IMLAN ADABI ialah mantan penulis khas Berita Harian.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.