Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Syed Saddiq cadang potong cukai hiburan
Diterbitkan:  Jul 1, 2022 5:22 PM
Dikemaskini: 10:31 AM

Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tampil mengemukakan tiga cadangan termasuk memotong cukai hiburan bagi membantu industri perfileman untuk terus ‘bernafas’ selepas terjejas teruk akibat pandemik Covid-19.

Presiden Muda itu berkata kerajaan ketika ini mengenakan cukai hiburan terlalu tinggi kepada penerbit filem berbanding negara-negara lain.

“Pertama, cukai hiburan bagi industri tempatan harus dipotong.

“Malaysia antara negara yang mengenakan duti hiburan tertinggi sebanyak 25 peratus jika dibandingkan dengan Indonesia dan Singapura tak sampai 10 peratus.

“Ni bukan terjadi kepada filem Mat Kilau saja tapi semua filem tempatan. Jadi, bagaimana pembikin filem mampu bertahan?” katanya melalui aplikasi TikTok semalam.

Ahli politik itu berkata demikian susulan perkongsian pengarah dan pelakon Mawi kelmarin berhubung jualan Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan yang didakwa tidak mendapat pulangan modal walaupun selepas mengutip jualan tiket melebihi RM12 juta kelmarin.

“Kutipan filem Mat Kilau mencecah RM12 juta, tapi dikatakan masih rugi, kenapa? Ini kerana 25 peratus bayar untuk cukai hiburan, 50 peratus ke pengusaha pawagam dan pembikin filem hanya peroleh keuntungan selepas itu,” katanya melalui video berdurasi 1.22 minit itu.

Untuk rekod, semalam pihak produksi Mat Kilau mengumumkan filem itu berjaya meraih kutipan lebih RM20 juta selepas tujuh hari tayangan.

Syed Saddiq juga mencadangkan agar cukai hiburan wajib disalurkan semula kepada tabung industri seni negara.

“Ia harus digunakan untuk tujuan tertentu. Kini, cukai dikutip disalurkan untuk mengecat pagar, tar jalan dan menanam pokok.

“Perasaan tak, bagi filem tempatan tak ada papan iklan mahupun poster besar. Malah, ketika saya ke pawagam nak tonton Mat Kilau tiada papan gegantung (bunting).

“Jadi, saya tak dapat bergambar bersama (gambar) Mat Kilau (watak dilakonkan Adi Putera) dan Awang (Fattah Amin) kerana tiada papan gegantung atau poster disebabkan modal tidak mencukupi,” jelasnya.

Selain itu, Syed Saddiq mencadangkan kebajikan kru perfileman juga dijaga.

Katanya, kebajikan kru balik tabir tidak diberi perhatian memandangkan kebanyakan pengusaha produksi lebih mengutamakan pelakon-pelakon bernama besar.

“Institusikan kebajikan kru perfileman. Janganlah hanya beri perhatian pada bintang filem saja.

“Sebaliknya, jangan lupa ada kru balik tabir yang bekerja lebih masa tapi tak dibayar atau ada pelakon yang lambat menerima gaji serta tiada insurans.

“Yang buat lagu royalti juga tak dibayar. Yang penting kontrak mesti tak berat sebelah. Hak pencipta lagu dan filem perlu kekal di tangan pengkarya.

“Lihat sahaja nasib yang menimpa Allahyarham P Ramlee. Bagi pencinta seni, marilah kita bersama-sama menggesa perubahan dilakukan melalui polisi yang sewajarnya,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS