Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Hans umum menang ketua cabang PKR Ampang
Diterbitkan:  Jul 1, 2022 2:56 PM
Dikemaskini: 8:17 AM
  • Di kemas kini dengan tambahan komen Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) PKR.

Pelakon dan penerbit, Hans Isaac menang tipis dalam persaingannya untuk merebut jawatan ketua cabang PKR Ampang apabila menewaskan penyanyi rap Altimet dengan perbezaan hanya dua undi.

Berdasarkan keputusan di laman web Pemilihan PKR 2022, Hans atau nama sebenarnya Gerald Hans Isaac, 50, memperolehi 748 undi manakala pencabar terdekatnya mendapat sebanyak 746 undi.

Hans turut berkongsi berita gembira itu buat peminatnya di media sosial.

“Dengan berbesar hati untuk mengumumkan bahawa ia adalah rasmi,” katanya malam tadi.

Mengiringi perkongsian itu, pelakon filem Nota itu turut memuat naik tanda pagar #KetuaCabangAmpang.

Selain Altimet atau nama sebenarnya Syed Ahmad Syed Abdul Rahman, 39, tiga lagi pesaing iaitu Abdullah Md Zain memperolehi 101 undi, Sam Hoo Wai mendapat 70 undi dan Abdul Latif Shaari meraih 10 undi.

Sementara itu Abdul Halim Mohamed Yusof menarik diri dalam pemilihan semula peringkat cabang tersebut.

Ketika dihubungi, Timbalan Pengerusi II, Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) PKR K Saraswathy berkata keputusan cabang Ampang diumumkan lebih awal setelah ia tidak tertakluk dengan audit forensik.

"Keputusan cabang Ampang terkecuali. Kerana pemilihan semula selepas audit forensik dibuat lebih awal.

"Maka, JPP mengumumkan keputusan terakhir cabang itu sejurus tamatnya pemilihan," katanya.

Pada 29 Mei lalu, Daing Muhammad Reduan Bachok diumumkan sebagai pemenang dalam pertembungan enam penjuru menentang Hans dan empat calon lain bagi jawatan ketua cabang PKR Ampang.

Daing pada ketika itu menerima jumlah undi tertinggi dengan 942 undi, manakala Hans dan Altimet masing-masing memperoleh 609 undi dan 589 undi.

Bagaimanapun kemenangan itu terbatal apabila Daing didapati terlibat dalam kegiatan membeli undi oleh jawatankuasa pemilihan pusat PKR.

Susulan itu pemilihan semula diadakan di cabang berkenaan dan Daing hilang kelayakan untuk bertanding semula.

Pada Pemilihan PKR 2018, jawatan Ketua Cabang Ampang dimenangi oleh Zuraida Kamaruddin.

Zuraida meninggalkan PKR pada 2020 untuk menyertai Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) dan kemudian menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).

Pemilihan PKR 2022 berlangsung sejak 13 Mei dan berakhir pada 22 Mei lalu.

Bagaimanapun, PKR belum mengumumkan keputusan pemilihan itu secara rasmi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS