Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Puteri Sarah saman Ira Kazar
Diterbitkan:  Jun 30, 2022 8:33 PM
Dikemaskini: 12:33 PM

Pelakon, Puteri Sarah Liyana, memfailkan satu tindakan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dan dua aduan di pejabat agama terhadap Ira Kazar, wanita yang didakwa kekasih kepada suaminya, Syamsul Yusof.

Puteri Sarah berkata selepas hampir empat tahun menahan sabar dan menanggung derita, dia akhirnya mengambil keputusan itu.

“Selepas saya pulang dari menunaikan umrah Mei lalu, saya nampak jelas dengan apa yang saya nak buat dan membulatkan tekad.

“Jadi sebelum saya menunaikan umrah saya sudah memberikan segala maklumat kepada peguam dan sepanjang tempoh sebulan di luar negara mereka sudah siapkan dan mengkaji semuanya.

“Selepas saya balik umrah, terus kami membuat perbincangan dan mengambil tindakan saman,” katanya.

Menurut Puteri Sarah, dia membuat tindakan itu bertujuan mempertahankan maruahnya selepas sekian lama didiamkan.

“Isu ini tidak akan berlarutan kalau saya tidak diganggu pihak ketiga yang terus mencabar.

"Sebelum ini saya ada kongsi di Instagram terdapat pihak yang mencabar saya dengan menyatakan bila saya nak menyaman dan meminta peguam saya untuk membuat tindakan segera. Jadi kami sudah failkan dua saman,” katanya dipetik Harian Metro.

Gambar fail, Ira Kaza.

Puteri Sarah menjelaskan, selain menuntut keadilan, dia juga mahu menyelamatkan rumah tangganya dan memperjuangkan haknya sebagai wanita teraniaya.

Sementara itu, peguam yang mewakili Puteri Sarah, Ummi Kartini Abd Latiff berkata Ira selaku pihak defendan sudah menerima perintah injuksi interim, kelmarin.

“Kami failkan satu tindakan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur berhubung gangguan. Kami sudah mendapatkan perintah injuksi pada 24 Jun lalu, di mana perintah ini supaya defendan (Ira Kazar) berhenti meluahkan atau menyebarkan apa-apa bentuk gangguan di sosial media atau di mana-mana platform sama ada dirinya atau yang berkaitan dengan dirinya.

“Ini kerana kadang-kadang ada pihak yang menggunakan akaun palsu. Jadi, ini adalah penting untuk memastikan tiada lagi gangguan dalam keadaan semasa terhadap anak guam kami. Perintah dan permohonan ini sudah diserahkan kepada pihak defendan, kelmarin. Dia sudah menerima dokumen itu dan kami akan bertemu di mahkamah pada 4 Julai depan,” katanya.

Gambar fail, Syamsul Yusof.

Ummi Kartini berkata tindakan di Mahkamah Syariah pula masih lagi dalam proses dan ia perlu bermula dengan aduan.

“Kami sudah failkan aduan di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) pada 24 Jun lalu dan hari ini kami berada di Jais pula atas sebab perkara berkaitan syariah ini di bawah undang-undang negeri.

“Memandangkan alamat tempat tinggal anak guam kami dan juga defendan berada di Selangor, dan ada juga kejadian berlaku di Kuala Lumpur, kami dinasihatkan untuk membuat aduan di kedua-dua negeri,” katanya.

Sementara itu, cubaan Malaysiakini menghubungi Ira untuk mendapatkan respons mengenai perkara itu tidak berjaya apabila panggilan dan mesej tidak dibalas.

Perkahwinan Syamsul dan Puteri Sarah didakwa dilanda masalah sebelum ini disebabkan kehadiran orang ketiga.

Mereka berkahwin 8 Mac 2014 dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Syaikhul Islam dan Sumayyah.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS