Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Nora Danish kini dengar, teliti teguran peminat

Jika sebelum ini Nora Danish mengakui hanya memandang sambil lewa kritikan mahupun teguran berkaitan imejnya yang sering dilabel seksi, kali ini pelakon itu berkata, ia wajar diberi perhatian.

Menyedari kariernya sebagai pelakon akan sentiasa menjadi perhatian masyarakat, aktres itu menjelaskan, mereka berhak untuk menyuarakan sebarang pandangan sekiranya perlu.

Justeru, kata Nora, 40, dia menerima sebarang teguran berkaitan dirinya itu dengan hati terbuka.

“Sebagai seorang selebriti, bidang saya ceburi sangat berkait rapat dengan masyarakat. Jadi, saya tak suka nak berbalah dengan netizen.

“Bagi saya, mereka ada hak nak cakap apa saja. Sebelum ni saya hanya pandang sambil lewa teguran disampaikan.

“Tapi, mungkin ada baik dan buruk yang wajar saya pertimbangkan dalam setiap teguran mereka itu,” katanya.

Walaupun tidak beranggapan dirinya memakai pakaian yang keterlaluan, pemilik nama penuh Nora Mohd Danish Hanif itu berkata, dia akan lebih berwaspada sebelum memuat naik sesuatu kandungan untuk tatapan umum.

“Biasanya bila saya pakai sesuatu pakaian, saya tak anggap ia seksi pun. Cuma orang yang memandang tetap akan anggap seksi.

“Tapi saya akan lebih berhati-hati sebelum berkongsi imej untuk dikongsi di media sosial lepas ni,” katanya.

Nora berkata demikian ketika ditemui ketika majlis pelancaran telefilem lakonannya berjudul 7 Minggu Sebelum Kahwin di sebuah kompleks beli-belah, Kuala Lumpur kelmarin.

Selain Nora, filem romantik komedi arahan Eyra Rahman itu turut membariskan pelakon seperti MK K-Clique, Alya Iman, Vanessa Renauld, Ropie, Yassin, Sham Visa, dan Azizah Mahzan.

Naskhah berkenaan dijadual ditayangkan melalui Astro First pada 7 Julai ini.

Mengulas respons Nedim Nazri Aziz berdepan kritikan dilemparkan terhadap isterinya, Nora berkata, suaminya itu sentiasa tenang dan bersikap positif.

Tuturnya, Nedim sedia maklum kehidupan seorang selebriti sepertinya pasti ada ujian.

“Nasib baik suami saya kuat. Dia tahu apabila berkahwin dengan selebriti memang akan berdepan dugaan.

“Dia kena faham selok belok dalam industri. Lagipun, dia ada banyak masalah lebih besar untuk difikirkan, jadi bila berdepan ujian, kena ambil positif,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS