Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
MK K-Clique tiada berniat menunjuk-nunjuk mengaji, imamkan solat

MK K-Clique berkata, perkongsian video memaparkan dia sedang mengimamkan solat dan mengaji al-Quran yang tular sejak empat hari lalu bukan bertujuan untuk menunjuk-nunjuk.

Menguatkan kenyataannya, penyanyi rap dan pelakon itu berkata, kandungan video tersebut bukan dinaik sendiri olehnya tetapi orang lain menggunakan aplikasi TikTok.

“Saya tak akan kongsi kandungan sedemikian sebab bukan saya yang suka menunjuk-nunjuk atau saja nak tunjuk baik. Yang tahu, tahulah; kalau tak tahu, tak akan tahu.

“Saya tak mahu disebabkan video seperti itu, nanti timbul perbalahan di media sosial,” katanya.

Kata pemilik nama sebenar Muhammad Hairi Amin Hamdan itu, rakaman tersebut diambil sewaktu dia pulang ke kampung halamannya di Tawau, Sabah, baru-baru ini bagi menjenguk ibunya yang sedang sakit.

Katanya kebetulan dia memang suddah lama tidak balik untuk berjumpa keluarga.

"Apabila balik kampung, semua benda saya nak buat bersama ibu. Mungkin disebabkan rindu, kakak memuat naik rakaman tersebut tapi sekadar bertujuan untuk berkongsi tetapi kemudian tular pula,” tuturnya.

Boleh kalau tak undang spekulasi

MK berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran supertele 7 Minggu Sebelum Kahwin di sebuah kompleks beli-belah di ibu kota semalam.

Ia berkisahkan Syifa (lakonan Nora Danish) yang mengimpikan sebuah perkahwinan indah sejak kecil. Selepas bertemu, Amar (MK), Syifa berasakan perkahwinan dia dan kekasihnya itu mestilah sempurna. Pun begitu, perkara sebaliknya berlaku.

Selain MK dan Nora, filem romantik komedi arahan Eyra Rahman itu turut membariskan pelakon seperti Alya Iman, Vanessa Renauld, Ropie, Yassin, Sham Visa, dan Azizah Mahzan.

Naskhah itu dijadual ditayangkan melalui Astro First pada 7 Julai ini.

Dalam rakaman tular itu, MK dilihat sedang mengaji bersama anggota keluarga yang lain serta mengimamkan solat. Rakaman itu sekali gus mengundang perhatian ramai disebabkan imej kontroversi yang pernah dibawa penyanyi berkenaan.

Sementara itu, mengulas tawaran lakonannya yang semakin bertambah, MK memanjatkan kesyukuran kerana diberi kesempatan untuk mengembangkan bakatnya.

Ditanya sama ada dia bersedia atau tidak untuk memenuhi tuntutan skrip yang memerlukannya membuka baju, MK menjawab, ia boleh dilakukan jika bersesuaian dan wajar.

“Tapi badan saya ni bukan besar mana pun, tulang saja.

"Saya rasa, boleh terima sekiranya tak menimbulkan spekulasi mahupun bersifat provokasi,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS