Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
'Mak jabatan netizen nombor satu komen baju saya'

Penyanyi yang tidak lekang daripada kontroversi dek cita rasa busana berani, Aina Abdul, berkata dia perlu mendapatkan keizinan ibunya sebelum tampil pada malam konsert A Night With Aina Abdul 2.0 yang berlangsung kelmarin.

Katanya, selagi tidak mendapat kelulusan wanita terbabit, hatinya tidak tenang untuk meneruskan persembahan.

“Mak wajib tengok saya buat persembahan. Tapi kalau tak tengok, dia perlu sekurang-kurangnya tonton saya buat raptai penuh berserta busana sebab mak ni macam jabatan netizen nombor satu yang komen baju saya.

“Selepas melihat kesemua pakaian dan puas hati, baru saya lega untuk teruskan persembahan,” ujarnya.

Aina berkata demikian ketika ditemui selepas usai malam pertama konsert itu di Istana Budaya. Konsert berkenaan berlangsung selama dua malam berturut-turut mulai 25 Jun.

Aina sekali lagi mencuri perhatian penonton apabila tampil memakai perincian rambut sebagai material utama dalam persembahannya.

Dia mendendangkan lebih 26 lagu melalui kemantapan vokalnya serta menampilkan lapan pereka fesyen yang berbeza untuk dua hari persembahannya pada konsert tersebut.

Selain persalinan rambut itu, dua lagi busana turut digayakan Aina ialah gaun kembang rona jingga yang dihasilkan Zaimi Zulkafli manakala gaun sarat tassel rekaan Rizman Ruzaini.

Baju ilham Kuntum pula dipakai Aina khas untuk sidang media dan sesi bertemu penonton sesusah konsert berakhir.

Konsert tersebut turut mendapat sokongan rakan-rakan artis antaranya adalah Che Ta, Ernie Zakri, Syamel dan Ziana Zain.

Sedia maklum respons netizen terhadap pemilihan pakaiannya sebelum ini, pemilik nama penuh Nurul Aina Abdul Gani itu berkata, dia tidak sabar menantikan pandangan mereka mengenai cita rasanya pada malam tersebut.

“Ia agak berat, tapi pereka fesyen gunakan lebih daripada 150 unit rambut yang diimport. Kesemua rambut itu adalah rambut sebenar.

“Persalinan dibuat oleh Melinda Looi. Saya memilih pereka itu sebab dia seorang pereka yang selalu berfikir di luar kotak," katanya.

Aina, 28, berkata persalinan rona hitam itu dihasilkan selepas berbincang bersama penata gayanya, Abu Shaef Hamza.

Menurutnya, kesemua persalinan mempunyai kisah tersendiri dan busana rambut itu digelar sebagai alter-ego of Aina Abdul.

“Abu tunjuk imej rambut. Sebelum ni saya pernah nampak baju rambut dan apa ditunjuk Abu itu buat saya tertarik,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS