Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Bekas kedutaan Korea Utara jadi lokasi 'rompakan'

Sebuah rumah agam di Bukit Damansara yang pernah menjadi kediaman konsulat Korea Utara kini digunakan sebagai venue acara Netflix Malaysia.

Kedutaan tersebut dikosongkan berikutan hubungan diplomatik di antara Malaysia dan Korea Utara yang tidak lagi sehaluan.

Pegawai perhubungan awam Netflix Asia Tenggara, Vivien Tan, berkata acara yang dinamakan sebagai Joint Economic Area itu merupakan inisiatif mereka mempromosikan siri Money Heist Korea.

“Kami telah merancang acara ini sejak berbulan-bulan yang lalu bersempena dengan tayangan perdana Money Heist Korea.

"Persiapan di venue itu bermula tiga hari sebelum pembukaan kepada orang awam," katanya kepada Malaysiakini.

Menurut Tan program itu memang mendapat sambutan yang hangat kerana dalam tempoh dua hari pembukaan bermula 25 Jun, semua slot penuh ditempah sehingga ke hari terakhir program iaitu 10 Julai nanti.

“Joint Economic Area cawangan Malaysia ingin mengajak peminat di negara ini untuk turut sama menghayati siri thriller yang pasti akan membuat anda tidak senang duduk,” katanya.

Malaysiakini turut diberi peluang untuk menyertai permainan mencari harta karun yang bertemakan siri Money Heist Korea tersebut.

Rumah agam yang dihiasi lukisan mural dan perabot estetik Money Heist Korea memberikan gambaran realistik kepada peserta seolah-olah mereka benar-benar berada dalam siri itu.

Peserta ketika memasuki pintu utama akan diberikan sebuah bagasi yang di dalamnya terkandung sehelai sut lengkap watak Money Heist Korea, sebuah topeng, mesin pencetak wang olok-olok dan beberapa ikat wang tunai Kesatuan Korea.

Setelah selesai menyarung sut yang diberikan, peserta akan mendengar taklimat tentang operasi ‘rompakan’ oleh The Professor iaitu seorang watak ikonik dalam siri tersebut.

Rintangan pertama yang dinamakan sebagai bilik Tokyo memerlukan peserta mencari lima topeng mempunyai calitan hitam yang disembunyikan di dalam laci dan almari sebuah pejabat.

Rintangan seterusnya - iaitu bilik Rio - memerlukan peserta bekerjasama mencari pemacu kilat yang disembunyikan dan kemudian menggunakannya untuk mengakses komputer dan menjawab kuiz berkenaan Money Heist Korea.

Rintangan terakhir di bilik Nairobi mencabar ketajaman mata peserta untuk mencari kombinasi kod dalam wang tunai Kesatuan Korea yang ditampal di dinding.

Ia bukanlah mudah malah seperti mencari sebatang jarum di tumpukan jerami.

Bahan petunjuk yang berjaya dikumpul akan digunakan untuk membuka sebuah peti besi yang di dalamnya habuan sedang menunggu para peserta: timbunan wang tunai Kesatuan Korea yang melimpah-ruah.

Untuk makluman, Money Heist Korea merupakan terbitan turunan dari siri Money Heist yang dikeluarkan di Sepanyol.

Siri itu dijangka akan membawa lebih banyak perencah kerana industri K-Drama yang sememangnya sinonim dengan jalan penceritaan meruntun jiwa.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS