Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Amelia, Idris sangkal dakwaan A Aida, anggap tuduhan tak berasas
Diterbitkan:  Jun 26, 2022 2:46 PM
Dikemaskini: 6:46 AM

Pelakon Amelia Henderson mendakwa dia bukan saja-saja menarik diri daripada sebuah penggambaran drama sebaliknya terpaksa berbuat demikian memandangkan banyak isu bercanggah yang timbul.

Katanya, salah satu daripadanya adalah mengenai tarikh penggambaran yang dipersetujui bersama pihak produksi dari awal.

Bahkan jelas Amelia, 26, segala tuduhan dilemparkan seorang penerbit kelmarin terhadapnya disifatkan tidak berasas.

“Tanpa memprejudis hak saya ingin menegaskan setiap tuduhan dilemparkan terhadap saya adalah sama sekali tidak berasas dan tidak benar.

“Bila saya tandatangan kontrak, bermakna saya akan berikan komitmen sepenuhnya. Sepatutnya ada sesi bacaan skrip ditetapkan pada 12 Jun lalu, namun, ia sebaliknya menjadi sesi suai kenal.

“Tapi pada sesi bacaan skrip tu kami masih belum tahu bila tarikh sebenar penggambaran akan bermula. Ketika tu tarikh penggambaran dah lewat hampir sebulan,” katanya di media sosial.

Terdahulu, penerbit A Aida dalam satu sidang media khas diadakan berkata bakal mengambil tindakan undang-undang terhadap dua orang pelakon susulan mengalami kerugian hampir RM15,000 gara-gara menarik diri pada saat akhir.

Selain itu, pemilik nama penuh Amelia Thripura Henderson itu berkata, dia enggan membawa watak seperti dalam skrip berikutan ia bercanggah daripada apa yang dimaklumkan sebelum ini oleh produksi.

Penerbit A Aida.

Menurutnya, watak tersebut menyebabkan dia berasa tertekan dan bimbang perkara tidak diingini timbul.

“Saya dimaklumkan ia watak seorang wanita yang kuat. Saya fikir ia bagus tapi sebaik dapat skrip, ia bukan seperti dimaksudkan sebelum ini.

“Saya faham sebagai pelakon memang kena menjiwai watak diberi. Tapi watak tu buat saya rasa sangat tertekan dan risau.

“Sebagai pelakon sepatutnya kita ada tanggungjawab untuk tunjukkan contoh yang baik. Tapi sebaliknya, ia amat bercanggah dengan prinsip hidup saya,” katanya.

Idris terkejut, hairan

Amelia, pada masa sama berkata, sepatutnya, isu terbabit boleh diselesaikan secara tertutup tanpa melibatkan media.

Sementara itu, seorang lagi pelakon, Idris Khan turut berkata dakwaan dan tuduhan dilemparkan terhadapnya tidak berasas serta bersifat fitnah semata-mata.

Katanya, atas nasihat peguam yang mewakilinya, tindakan undang-undang untuk mendedahkan kebenaran bagi pihaknya akan diambil.

“Merujuk kepada perkembangan semasa, saya merasa terkejut dan hairan. Namun begitu, adalah wajar bagi saya membuat kenyataan seperti berikut.

“Atas nasihat peguam yang mewakili saya, prosiding undang-undang untuk mendedahkan kebenaran akan diteruskan," katanya.

Idris turut menekankan bahawa dia menentang sekerasnya sebarang bentuk ancaman dan buli dalam dalam industri hiburan.

“Terdapat segelintir pihak yang menggunakan kedudukan dan kuasa dengan memeras ugut agar mengikut rentak mereka atau menanggung akibatnya.

“Saya akan melawan penyalahgunaan kuasa secara terang-terangan ini hingga ke akhirnya,” katanya.

Tegasnya, dia tidak akan berdiam diri dalam berdepan sebarang ancaman yang memperkecilkan peribadi, integriti dan prinsipnya dalam hidup.

“Pihak yang pernah bekerjasama dan mengenali saya sepanjang saya berada di dalam industri ini boleh mengesahkan komitmen dan etika bekerja saya yang tidak boleh dipertikaikan,” katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS