Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Zaimi dan kisah anak laut Lagaton
Diterbitkan:  Jun 26, 2022 9:00 AM
Dikemaskini: 1:00 AM

"Mau makan apa kalau ndak pandai menyelam kau anak?" kata Kilan kepada anak lelakinya, Zaimie.

Kepada suku Bajau Laut, mahir berenang adalah sama seperti pentingnya tahu berjalan kepada semua orang, dan menyelam pula menjadi terlebih penting untuk kelangsungan hidup mereka.

Orang Bajau Laut mencari rezeki sebagai nelayan. Selain memukat dan merawai, mereka juga menyelam untuk mencari ikan, udang dan sotong. Ikan dan udang yang datang daripada hasil selaman biasanya lebih mahal.

Kerisauan Kilan terhadap kegagalan Zaimie Sahibil menguasai kemahiran menyelam itu tentu saja mempunyai asas yang kuat. Si ibu memandang jauh ke hadapan. Risau beliau akan untung rugi masa depan anak lelakinya itu.

Walaupun begitu Zaimie ialah perenang yang sangat ahli dan beliau juga mahir mengendalikan sampan dan bot bila di air.

Setelah dipujuk oleh seorang guru yang datang ke kampungnya di Lagaton, sewaktu berusia sembilan tahun, Zaimie memulakan persekolahan di tahun satu.

Kampung Lagaton ialah sebuah pulau kecil berhadapan dengan Pulau Banggi di Sabah.

Di Kampung Lagaton tidak ada sekolah, maka Zaimie mengayuh sendiri sampan untuk ke kampung berhampiran. Setelah berdayung, apabila tiba di darat, beliau perlu pula berjalan kaki untuk beberapa jauh untuk sampai ke sekolah.

Setelah tamat persekolahan Zaimie menyambung pelajaran ke maktab perguruan. Semasa menjadi guru, Zaimie sangat aktif mempamerkan karya lukisan.

Setelah didorong oleh seniman tersohor, Hasnul J Saidon, beliau menyambung pelajaran hingga keperingkat doktor falsafah.

Hari ini anak Bajau Laut yang tidak pandai menyelam itu ialah seorang seniman terkenal dan juga pensyarah di Universiti Malaysia Sabah.

Beliau juga gigih membantu masyarakat terutama anak-anak Bajau Laut di Kampung Lagaton, Pulau Silk di Sabah. Hasilnya, sehingga kini terdapat tiga orang anak laut dari kampung tersebut berjaya memiliki segulung ijazah.

Selain itu Zaimie juga giat memajukan tempat kelahirannya sebagai pusat tumpuan pelancong. Beliau bersama pemenang Bakat Muda Sezaman 2022, Andry Chin, membina beberapa arca di pantai pulau berkenaan sebagai tarikan.

Arca yang diberi nama 'Aisbok' itu menerima hadiah khas juri pada pertandingan berkenaan.

Zaimie juga bercadang untuk membina beberapa buah chalet yang kemudiannya akan diserahkan kepada orang tempatan untuk diuruskan.

Semangat yang kuat untuk memajukan masyarakat yang ditunjukkan oleh Zaimie adalah sesuatu yang perlu dibanggakan. Luarannya, beliau seperti orang gasar, namun Zaimie sangat komited untuk membawa sukunya keluar dari kepompong dan terbang memajukan diri.

Bermula pada 24 Jun ini, Zaimie akan mengadakan pameran solo yang diberi judul 'Rasa Masin Air Lautan' atau 'The Saltiness Of The Ocean' di Galeri Azman Hashim di Sabah.

Beliau akan mempamerkan 53 keping karya yang kesemuanya bertemakan laut dan kehidupannya. Karya-karya yang akan dipamerkan juga datangnya dari beberapa siri yang pernah beliau hasilkan.

Antaranya ialah siri Shark yang beliau hasilkan pada 1996.

Melalui karyanya Zaimi bercakap mengenai kemusnahan kehidupan laut hasil aktiviti haram seperti penggunaan racun dan juga bom ikan. Aktiviti itu bukan saja membunuh anak-anak ikan malah menghapuskan terus terumbu karang yang amat penting kepada ekosistem laut.

Zaimie juga menyuarakan kegelisahannya mengenai peranan orang tengah memanipulasi harga hasil laut.

Sebahagian daripada hasil jualan pameran yang akan tamat pada 24 Ogos nanti akan disalurkan kepada penduduk Kampung Lagaton. Orang ramai adalah dijemput untuk memberi sokongan kepada pameran tersebut.

Galeri Azman Hashim dengan senibina kontemporari itu adalah sebuah galeri yang amat menarik untuk dilawati.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS