Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Money Heist ajak 'merompak' di ‘kedutaan’ Korea Utara

Netflix Malaysia mengumumkan satu acara istimewa bersempena dengan tayangan perdana siri thriller jenayah Money Heist Korea - Joint Economic Area.

Acara yang berkonsepkan permainan mencari harta karun itu akan menemui peminat mulai esok hingga 10 Julai bertempat di Bukit Damansara, Kuala Lumpur.

Menariknya, ia akan berlangsung di bangunan lama Kedutaaan Korea Utara yang kini kosong setelah Malaysia dan negara itu tidak lagi mempunyai hubungan diplomatik, bermula Mac tahun lepas.

Bangunan itu sebelum ini digunakan oleh 33 warga Korea Utara. Kesemua mereka bagaimanapun diusir ke negara asal selepas Pyongyang menamatkan hubungan diplomatik dengan Kuala Lumpur.

Pyongyang menamatkan hubungan diplomatik dengan Malaysia apabila Mahkamah Malaysia memutuskan seorang ahli perniagaan Korea Utara boleh diekstradisi ke Amerika Syarikat untuk menghadapi pertuduhan pengubahan wang haram.

Hubungan diplomatik sejak 1973 itu memburuk selepas Kim Jong-nam, abang tiri pemimpin Korea Utara Kim Jong-un, dibunuh di Malaysia.

Sementara itu, untuk acara Money Heist Korea, acara esok akan bermula dari 10 pagi hingga 10 malam pada hujung minggu dan dari 6 petang hingga 10 malam pada hari minggu.  

Peserta harus mengumpul petunjuk dari bilik Rio, Tokyo dan Nairobi (watak siri Money Heist Korea) untuk memecah masuk ke dalam bilik kebal.

Mereka yang berjaya menyelesaikan setiap misteri berpeluang membawa pulang hadiah berupa topeng muka dan baju jumpsuit rasmi Money Heist Korea beserta timbunan wang tunai “Kesatuan Korea”.

Dalam siri Money Heist Korea, Korea Selatan dan Korea Utara bergabung semula sebagai sebuah negara dan menggunakan mata wang baru.

Money Heist Korea merupakan terbitan turunan dari siri Money Heist dari Sepanyol yang mencipta fenomena di seluruh dunia. 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS