Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Usah dituduh panas baran, tunggu cerita sebenar - Sharnaaz
Diterbitkan:  Jun 20, 2022 3:05 PM
Dikemaskini: 7:05 AM

Sharnaaz Ahmad meminta orang ramai tidak membuat sebarang andaian dan menganggap dia panas baran berikutan direman tiga hari gara-gara didakwa terbabit kes pukul pada 16 Jun lalu.

Pun begitu, dia yang dibebaskan dengan jaminan polis hari ini mengakui, panas baran memang sikap yang sinonim dengan dirinya.

“Jangan menghukum saya terlalu awal. Tak tahu lagi bila pendakwaan tapi saya sudah beri keterangan sebaik mungkin kepada pihak polis.

“Saya juga akan mengadakan sidang media untuk menjelaskan perkara sebenar dalam waktu terdekat,” katanya pada pemberita ketika ditemui media di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul.

Terdahulu, media melaporkan seorang pelakon lelaki popular direman selama tiga hari bagi membantu siasatan kes menumbuk dan menendang seorang pengawal keselamatan di sebuah kondominium di Segambut, Kuala Lumpur.

Kejadian itu dikatakan berpunca apabila mangsa meminta rakannya menghantar barang ke kediamannya kira-kira jam 8 malam namun tidak dibenarkan masuk oleh pengawal keselamatan.

Mangsa kemudian turun ke lobi untuk bertanya kepada pengawal keselamatan tentang perkara tersebut dan berlaku pentengkaran di antara mereka berdua.

Artis terbabit yang berada di lobi itu secara tiba-tiba datang dan dipercayai menumbuk dan menendang mangsa.

Sharnaaz berkata, dia akan membuktikan kepada mahkamah bahawa dirinya tidak bersalah.

“Selama tiga hari saya membantu siasatan. Tak ada yang teruk, malah banyak pengajaran yang saya dapat.

"Jangan risau saya okay dan pihak polis juga memberikan layanan yang baik. Saya yakin saya tak bersalah.

"Insya-Allah saya akan buktikan kepada semua ada kebaikan yang saya buat dalam kes ini yang orang tak tahu dan tidak diceritakan," katanya.

Menurut Sharnaaz lagi dia akan menjelaskan apa yang berlaku jika kes tersebut dibawa ke mahkamah nanti.

"Saya harap tiada pihak cuba buat spekulasi dan terus menuduh mengatakan saya ini penjenayah,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS