Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Demi restu ibu, Amy tak jera perkenal calon jodoh

Enggan menderhaka dan menghampakan perasaan seorang ibu, pelakon baru, Amy Nur Tinie, tekal mahu menitikberatkan restu orang tuanya terlebih dulu dalam bab jodoh.

Kata dia yang mesra disapa Tinie, walaupun ada beberapa kali membawa calon untuk diperkenalkan kepada ibunya - namun ditolak - dia reda kerana mahu perkahwinan yang bakal dibina mendapat keberkatan.

“Ramai juga yang dia tolak, tapi saya percaya keputusan seorang ibu,” katanya.

Menurut pemilik nama penuh Amy Nur Tinie Abdul Aziz itu, seboleh-bolehnya dia akan patuh pada kehendak wanita yang membesarkannya selama ini.

“Saya akan hormati keputusannya. Lagipun, syurga itu memang di bawah tapak kaki ibu," katanya.

Amy berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran supertele adaptasi sebuah novel tulisan Sophilea, Bangkitkan Aku Kembali, yang diadakan di ibu kota baru-baru ini.

Naskhah seram itu berkisahkan Suri (lakonan Amy) yang dibawa lari oleh Musa dengan bantuan Mba Timah selepas dia enggan berkahwin dengan anak residen Inggeris.

Namun Suri, akhirnya jatuh cinta dengan Hendra dan mengahwini lelaki itu.

Musa berdendam kerana dia telah lama menyukai Suri lalu membunuh wanita itu bersama suaminya. Pembunuhan itu disaksikan anak Suri dan Hendra, iaitu Ryanto.

Seratus tahun kemudian - dengan dendam yang masih bersisa - menyebabkan Zakuan iaitu waris terakhir keturunan Musa sering diganggu.

Saling membantu dalam perniagaan

Selain Amy, turut menjayakan naskhah itu termasuk Aishah Azman, Jay Iswazir, Dayang Areeda, Syaffiq Sahli, Juita Johari, Danial Dasuki , Adik Rayqa, Wak Zaidi, Mustaqim Bahadon, Adam Corrie dan Azzahra Ahmad.

Penggambaran dijangka bermula tidak lama lagi dan ia bakal ditayangkan di saluran Astro First tahun ini.

Untuk rekod, sebelum terbabit dalam dunia lakonan, Amy pernah menyertai beberapa pertandingan ratu cantik di dalam dan luar negara dan pernah dinobatkan sebagai Naib Johan Miss Eco International 2019 di Mesir.

Pelakon filem 10 Tips Tipu Bini itu juga pernah menyandang gelaran Miss Malaysia Kebaya 2016 serta Ikon Wanita Melayu 2018.

Pada masa sama, Amy mengakui dia sedang berkawan rapat dengan pelakon drama Nur, Atiq Azman, dan menggembirakan apabila ibunya mudah mesra dengan lelaki terbabit kerana sifat kelakar serta tahu menghormati orang tua.

“Kami rapat kerana saya bantu dia dalam perniagaan kosmetiknya yang baru diasaskan.

“Keluarga saya pula ada perniagaan, jadi tak salah jika saya cuba membantu mana yang boleh,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS