Pelawak legenda, Hamid Gurkha, menghembuskan nafas terakhir pada jam 2.19 petang tadi di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang, akibat penyakit tibi dan beberapa komplikasi lain.
Berita dukacita itu dikongsikan anak bongsunya, Nor Ashita Hamid.
Menurutnya, doktor mengesahkan Hamid atau nama sebenarnya Abdul Hamid Abdul Rahman mempunyai penyakit tersebut.
“Kami reda atas pemergian arwah.
“Allah lebih menyayangi arwah selepas enam hari dimasukkan ke hospital,” katanya dipetik BH Online.
Kongsi Nor Ashita, sehingga berita itu ditulis, jenazah Hamid masih berada di hospital bagi pengurusan beberapa prosedur.
“Saya dan adik-beradik tak dapat menjangkakan bila pengebumian akan dilaksanakan. Mungkin hari ini atau esok, tetapi kami berharap urusan pengebumian dapat dipercepatkan,” tambahnya.
Khamis lalu, Nor Ashita memaklumkan, Hamid berada dalam keadaan stabil dan terkawal selepas dirawat di hospital selepas mengalami batuk teruk.
Pada perayaan Aidilfitri sebelum ini, Hamid dilaporkan hanya terlantar atas katil selepas diuji jangkitan Covid-19 pada Feb lalu.
Namun, bintang yang mula dikenali melalui filem Panglima Badol pada 1978 itu tidak mengalami penyakit kronik, sebaliknya hanya masalah pendengaran disebabkan kesihatannya yang makin uzur pada usia menginjak 90 tahun.
Hamid mendirikan rumah tangga dengan Timah Abdul Hamid, 80, sejak April 1957. Mereka dikurniakan lapan cahaya mata, namun dua daripadanya meninggal dunia. Pasangan terbabit juga memiliki 32 cucu dan 18 cicit.
Jenazah Hamid selamat dikebumikan kira-kira 9.50 malam di Tanah Perkuburan Masjid Kota Raja di Kampung Jawa selepas disolatkan di Masjid Kota Raja.