Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan

Walaupun dilempar kata-kata sinis seperti dianggap sudah tidak boleh menyanyi dengan baik, vokalis Search, Amy, tetap berpegang teguh pada nasihat arwah ayahnya.

Amy yang bertahan lebih empat dekad dalam pentas muzik rock mengakui, nasihat Abdul Rahman Omar membuat dia selalu berlapang dada dengan segala kritikan dan tohmahan yang sampai.

Katanya, azimat yang diberi arwah ayahnya itulah menjadi penguat semangat untuk menempuh dugaan sepanjang tempoh menjadi penghibur sehingga usianya mencecah 64 tahun pada 28 Julai ini.

“Arwah ayah berkata, jika hari ni saya popular, tak mustahil suatu hari nanti apabila usia dah meningkat atau tidak berkemampuan menyanyi, orang akan caci.

“Ayah juga sering mengingatkan saya agar berjiwa besar menerima segala komen,” katanya.

Namun, Amy tidak pasti mengapa segelintir pihak mempertikaikan kemampuannya sebagai penyanyi gara-gara tindakan menghulur mikrofon kepada peminat ketika membuat persembahan.

Jelasnya, menghulur mikrofon itu bukanlah sesuatu perkara baru atau kerana vokalnya ‘pancit’ malah sudah menjadi kebiasaan dia mengajak peminat menyanyi bersama.

“Saya tak pasti mengapa disebabkan tindakan beri mikrofon kepada peminat orang dengan mudah menyimpulkan saya tak boleh menyanyi,” katanya.

Amy berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran buku ke-11 penulis Ashikin M di Petaling Jaya kelmarin.

Enggan kata-kata negatif menguasai minda, penyanyi Aku Dah Bosan itu menyifatkan persembahannya pada Konsert Endemik Search, di Zepp Hall, Kuala Lumpur selama dua hari berturut-turut itu sebagai pencapaian luar biasa.

Konsert yang dibawakan LOL Asia itu turut dijayakan tiga pemuzik otai lain iaitu Nasir Daud, Hillary Ang dan Man Kidal yang juga anggota asal kumpulan rock legenda berkenaan.

Pun begitu, kata Amy, dia dan seluruh pasukan yang beraksi di Zepp Hall itu berdepan kesulitan apabila mengalami demam dan seperti sakit-sakit badan sebelum persembahan.

“Tapi alhamdulillah, ketika konsert itu, semuanya baik-baik saja,” katanya.

Sementara itu, diminta mengulas kehadiran keluarga pemain dram Search, Allahyarham Yazit Ahmad, pada konsert tersebut, Amy berkata, dia menghargai hubungan akrab yang terjalin antara mereka.

Kami sangat akrab dengan keluarga Allahyarham Yazit. Isterinya, Ramlah dan anaknya, Shafiqa memberi sokongan dan datang ke konsert kami.

“Selain itu, banyak perkara saya tolong selesaikan. Contohnya, bayaran royalti seperti dipesan arwah. Jika ada show di mana-mana, sejak arwah sakit, kami beri bahagiannya kepada keluarga dia.

“Ni tanggungjawab. Saya pernah berjanji ketika arwah sakit. Saya katakan pada kawan-kawan, ni tugas kita,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS