Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan

Hattan mengakui petikan terbaik gitar Din dan Kid semalam melepas kerinduannya terhadap persembahan muzik rock sebegitu yang pernah memonopoli industri tanah air suatu ketika dulu.

Kata penyanyi itu, pada Konsert Search Rockin’ On Rooftop tersebut, keupayaan Din dan Kid menyakinkannya bahawa “kunci” Search adalah pada kedua adik-beradik berkenaan.

“Dah lama saya tak dengar muzik sebegini. Kunci bunyi Search ada pada Din dan Kid terutama bila mereka mainkan lagu Teguh. Dah lama saya tak dengar lagu tu.

“Saya sebak sebaik dengar mereka mainkan lagu tu, rasa seperti mahu menangis. Tapi saya seronok dapat tengok persembahan mereka berdua. Saya puas hati.

“Kunci Search ada pada Din dan Kid,” jelasnya.

Penyanyi Biso Bonar itu juga yakin mungkin tiada siapa boleh menyangkal bahawa keserasian adik beradik itu bermain dalam sebuah kumpulan tiada tandingannya sekali gus menyerlahkan kehebatan mereka.

“Saya rasa tak siapa boleh nafikan,” katanya.

Hattan berkata demikian ketika ditemui pada sidang media selepas berakhirnya Konsert Search Rockin’ On Rooftop semalam.

Konsert itu menyaksikan Din atau nama sebenarnya Nordin Mohd Taib, Kid (Hamzah Mohd Taib), Denden Gonzales (vokalis), Yan (bass) dan Minn (dram) menggegarkan 3,000 penonton selepas hujan lebat reda.

Kumpulan yang kini berpecah kepada dua itu menyampaikan 17 lagu antaranya Diari Habil dan Qabil, Fantasia Bulan Madu, Mentari Merak Di Ufuk Timur dan Neo Romantik.

Hattan pada sama sama tidak menyangka bermula dari sikap pemalu pada awal persembahan, Denden kemudian dilihat mampu memberi persembahan luar biasa melalui vokalnya.

Kata penyanyi, itu, kehadiran Denden yang bersatu dengan Search mungkin mampu meledakkan lagi nama band itu di seberang.

“Dia menyanyi sedap, melekat dan memang ada sesuatu. Saya ingat dia pemalu, tapi bila dah lama-lama menyanyi atas pentas, memang sedap suaranya.

“Saya harap Search dapat terbang tinggi ke seberang. Saya percaya jika mereka keluar album penuh, boleh boom (meletup) merentasi pasaran Indonesia kerana dia berasal dari sana.

“Saya ada berbual dengan komposer dan penyanyi M Nasir, kami menyatakan sekiranya mereka keluar album, lagunya pasti sedap. Saya harap mereka berjaya jalankan konsert siri jelajah,” katanya.

Hattan turut meluahkan harapannya untuk melihat muzik rock tempatan sekali lagi diminati ramai di negara ini dengan adanya Denden sebagai pelapis.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS