Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Amy puas konsert berjaya walau persiapan singkat

Vokalis kumpulan Search, Amy berkongsi perasaan puas dengan kejayaan Konsert Search Endemik walaupun persiapan hanya mengambil masa kira-kira sebulan setengah.

Amy berkata, pada kebiasaannya persediaan sesebuah konsert mengambil masa sehingga berbulan lamanya.

“Ia adalah dua malam yang penuh emosi. Persediaannya kami mulakan sejak Aidilfitri keempat dan pada ketika tu kami baru saja selesai merakamkan dua single baru.

“Biasanya, persediaan untuk konsert memakan masa lebih enam bulan. Tapi, memang saya bersyukur semua urusan dipermudahkan,” katanya.

Amy atau nama sebenarnya Suhaimi Abdul Rahman turut berkata, tonggak kejayaan konsert itu adalah isterinya Norhasniza Hassan atau Nourish yang bertindak selaku Penerbit Eksekutif untuk konsert berkenaan.

“Walaupun ni memang kerja ‘gila,’ saya berterima kasih kepada isteri saya, Nourish. Dialah yang bertungkus-lumus memastikan segala persediaan sempurna,” katanya.

Amy, 63, berkata, kejayaan mengadakan konsert itu juga membuatkan dia menangis pada keesokan harinya.

“Pada hari Isnin, sehari lepas konsert saya menangis kegembiraan sepanjang hari dan saya berkongsi perasaan tu dengan semua yang terbabit dalam acara konsert.

“Konsert Search Endemik ni adalah satu acara yang berlangsung pada waktu yang tepat dengan judul yang tepat iaitu Endemik.

“Endemik itu juga adalah idea daripada isteri saya,” katanya yang ditemui pada majlis pelancaran buku Ashikin M yang kesebelas di Studio Metal, Petaling Jaya hari ini.

Terdahulu, Konsert Endemik Search berlangsung selama dua malam di Zepp Kuala Lumpur.

Konsert yang berlangsung selama lebih dua jam itu "full house" selepas semua tiket habis dijual dengan jumlah keseluruhan 45 lagu didendangkan.

Amy turut berkongsi kegembiraannya saat bertemu dengan keluarga Allahyarham Yazit.

“Turut hadir pada hari pertama adalah isteri arwah iaitu Ramlah Mat dan anaknya, Shafiqa Nurlis.

“Kehadiran mereka membawa kegembiraan bukan saja kepada saya, bahkan semua anggota Search,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS