Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Selepas 8 tahun, Kembara bakal gegar Konsert Panorama Jingga 1444
Diterbitkan:  Jun 11, 2022 5:36 PM
Dikemaskini: Jul 20, 2022 6:10 AM

Lapan tahun bukan jangka masa yang sekejap untuk sebuah rindu yang meranum.

Kali terakhir kumpulan Kembara muncul dengan sebuah konsert adalah pada 2014 di kota Kuala Lumpur.

Dengan konsert yang meninggalkan 1,001 kenangan itu, turut berbekas adalah kerinduan terhadap lagu-lagu rakyat serta perjuangan mereka.

Untuk tahun ini, Shiraz Projects Sdn Bhd memikul tanggungjawab melunaskan kerinduan tersebut dengan membawakan Konsert Kembara Panorama Jingga: 1444 Hijrah pada 31 Julai ini bertempat di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Dijadual bermula pada pukul 8.30 malam, konsert yang menghimpunkan tenaga dan kehebatan M.Nasir sebagai vokalis, Zoul (gitar utama, vokal), Rahman Suri (bass), Shahrum Basiron (dram) dan Md Shah Othman (keyboard) itu akan membawa penonton ke suatu dimensi masa bersama lagu-lagu berjiwa besar mereka.

Menurut Shirazdeen Karim selaku CEO Shiraz Projects, sudah lama pihaknya mengimpikan untuk bekerjasama dengan kumpulan yang terkenal dengan lagu-lagu seperti Hati Emas dan Ekspres Rakyat dan akhirnya ia bakal terlaksana juga pada Julai ini.

“Perbincangan dan perancangan konsert ini sudah bermula sebelum pandemik lagi dan kami akur dengan keadaan yang melanda.

“Untuk tahun ini, kami sangat bersemangat untuk membawakan lagu-lagu Kembara berkumandang di dewan berprestij iaitu Dewan Plenari,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, dia yakin Kembara akan memberikan sebuah persembahan yang bertenaga dengan barisan lagu yang cukup nostalgik dan ikonik untuk para pendengar.

“Mengapa konsert ini diberi judul Kembara Panorama Jingga : 1444 Hijrah?

"Para peminat setia pasti tahu namun untuk sebuah kepastian dan surprise yang lebih menyenangkan, penonton wajib datang ke konsert ini kelak,” tambah Shiraz lagi, membayangkan kejutan yang tersedia di konsert itu nanti.

Tiket-tiket berharga RM860 (Meet and Greet), RM460 (Diamond), RM360 (Platinum), RM260 (Gold), RM200 (Silver) dan RM160 (Bronze) mula dijual semalam.

Konsert Panorama Jingga 1444 disifatkan akan mengubat rindu peminat Kembara di zaman 1980-an danmemberi peluang kepada generasi baru untuk mengenali muzik kumpulan itu dengan lebih akrab.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS