Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Layanan pelakon baru buat Mak Engku rasa diri bagai tiada harga

Dramatis Mak Engku Faridah mengakui dia terkilan dengan sikap segelintir pelakon baru yang melayan pelakon senior seolah-olah mereka tiada harga diri.

Katanya, walaupun seseorang pelakon pelapis memiliki jutaan pengikut di media sosial, ia bukanlah bermaksud mereka tidak lagi perlu menunjukkan rasa hormat pada orang lebih berusia.

Menurut Mak Engku, seorang pendatang baru misalnya wajar bijak membawa diri terutama ketika berada di lokasi penggambaran bagi memberi impak terbaik dalam lakonan mereka.

“Ia harus bermula dengan bertegur sapa. Sekiranya anda budak baru, datanglah bersalam-salaman dan berkenalan dulu dengan barisan pelakon yang lain untuk cari keserasian... jangan angkuh.

“Walaupun dapat watak utama, pelakon baru tetap kena tunjukkan rasa hormat pada orang tua. Ini terbalik, saya pula yang datang dan memperkenalkan diri kepada dia.

“Kadang-kadang saya rasa macam tiada harga diri pula. Di Hollywood lain, lagi tua lagi disanjung,” katanya.

Bukan setakat itu, pemilik nama penuh Ku Fridah Ku Shafie itu berkata, kesabarannya pernah diuji sewaktu dia berada dalam satu penggambaran dengan pelakon baru.

Buang masa pelakon lain

Ketika itu, kata Mak Engku, 69, sikap sambil lewa seorang pelakon baru wanita hadir ke set tanpa melakukan persediaan seperti menghafal dan mendalami skrip terlebih dulu hampir membuatnya ‘naik gila.’

“Dia berlakon sebagai heroin, ada pengikut juta-juta dan waktu tu penggambaran sampai jam 4 pagi, sedangkan saya ni dah berusia.

"Adakah patut disebabkan tak hafal dialog, enam tujuh kali take pun dia masih tak boleh lontar dialog. Dialog saya lebih panjang daripada dia.

“Sampai saya perlu tegur ‘keras’: asyik salah, fokus betul-betul, ni dah jam 4 pagi bukan 4 petang.

"Pengarah pula tak tegur kesilapan tu sebab dia muda, lagi cantik dan ada pengikut ramai,” luahnya.

Mak Engku berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran skim Rumahku Syurgaku, di sebuah hotel di ibu kota kelmarin.

Mak Engku turut kecewa apabila seseorang bakat baru yang diberi peranan utama tidak mampu menjiwai watak sehingga sikap sambil lewa itu membebankan dan membuang masa pelakon lain.

“Saya bawa karakter mak, tapi dia berlakon marah-marah kat saya. Saya macam bawa watak jadi madu dia pula.

“Pelakon ni datang ke set tapi tak buat homework. Saya tak mahu disebabkan dia pelakon lain perlu buat reshoot (penggambaran semula).

“Ada juga segelintir yang tak mahu bincang skrip, duduk dalam kereta lepas tu tiba-tiba tanya; eh watak ni kena menangis?

“Saya nak tanya, apakah dia simpan skrip bawah bantal saja?” getusnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS