Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Polis tahan bekas suami Britney Spears lepas ceroboh majlis kahwin
Diterbitkan:  Jun 10, 2022 2:21 PM
Dikemaskini: 6:21 AM

Bekas suami pertama Britney Spears, Jason Alexander ditahan hari ini selepas menceroboh kediaman bintang pop itu dengan pelakon Sam Asghari di Ventura County, California menjelang majlis perkahwinan mereka.

Pegawai polis daerah Napa, Henry Wolfford berkata Alexander mempunyai dua waran tangkap aktif untuk jenayah kecurian besar, iaitu melibatkan nilai lebih AS$400 (RM1,760), dan membeli atau menerima harta curi.

Katanya, kedua-dua jenayah itu didakwa berlaku pada 1 Ogos 2015 dan waran penahanannya telah aktif sejak 2016.

Sebelum penahanannya, Alexander yang berkahwin dengan Britney hanya selama 55 jam di Las Vegas pada 2004 sebelum perkahwinan itu dibatalkan sempat membuat rakaman untuk Instagram Live dari rumah penyanyi Criminal itu.

Katanya, Britney, 40, adalah isterinya yang pertama dan satu-satunya wanita pernah dikahwini.

“Britney Spears menjemput saya ke sini. Saya bekas suaminya yang pertama. Saya datang nak menceroboh (crash) perkahwinan sebab tak ada sesiapa di sini kecuali Sam. Mana keluarga yang lain?" katanya.

Menurut Wolfford, Alexander mungkin akan dipindahkan ke penjara Napa County. Ikat jaminnya ditetapkan pada kadar AS$20,000 (RM88,000).

Bagaimanapun, pegawai kanan jabatan syerif Ventura County, Eric Buschow memberitahu Rolling Stone bahawa pihaknya belum dapat mengesahkan sama ada Britney mahupun tunangnya akan mendakwa Alexander atas kesalahan menceroboh.

Penyanyi lagu Toxic itu bertunang dengan Asghari pada September tahun lalu selepas mengumumkan mereka bakal menimang cahaya mata pada April tahun ini.

Bagaimanapun, Britney dilaporkan mengalami keguguran.

Ini adalah perkahwinan ketiga Britney. Selain Alexander, dia juga pernah berkahwin dengan penari Kevin Federline. Britney mempuyai dua anak lelaki iaitu Sean Preston, 17 dan Jayden James, 16 tahun.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS