Pelakon Azri Iskandar mengesahkan dirinya bakal mendirikan rumah tangga dalam masa terdekat dengan seorang penulis skrip yang dikatakan turut memiliki PhD dalam jurusan muzik.
Menurut Azri, dia dan keluarganya bercadang untuk menghantar rombongan merisik dan meminang Azra Diera sebelum 23 Jun ini.
“Jika tiada aral melintang, kami akan bernikah dulu. Majlis perkahwinan akan diadakan kemudian dalam waktu terdekat,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.
Katanya, Azra, atau mesra disapa Ara belum pernah berkahwin sebelum ini.
Azri sebelum ini pernah berkahwin dengan pengarah, penulis skrip dan pelakon terkenal, Ellie Suriati Omar. Namun, pasangan itu sah bercerai pada 17 Mei lalu.
Hasil perkongsian hidup selama 19 tahun, Azri dan Ellie dikurniakan dua anak, iaitu Azrell Omar, 18 dan Nur Azreen, 13.
Terdahulu, Ellie memberitahu Malaysiakini bahawa dia yang membuat permohonan perceraian pada 22 April lalu.
Menurut Azri yang juga pelakon Pontianak Harum Sundal Malam itu, majlis persandingan terpaksa ditangguh buat sementara waktu kerana dia terpaksa memenuhi jadual kerja yang padat ketika ini.
“Sekarang saya masih lagi menjalani penggambaran drama Kau Tak Punyai Hati arahan Azmi Hatta terbitan TV3 sampai 2 Ogos depan.
“Masa yang ada agak terhad untuk saya uruskan segala persiapan. Namun, doakan yang baik-baik untuk kami berdua. Saya akan umumkan tarikhnya nanti,” tuturnya.