Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
RM15,000 kena songlap, Fify kecewa buat baik dibalas tuba
Diterbitkan:  Jun 7, 2022 10:33 PM
Dikemaskini: 2:33 PM

Pelakon Fify Azmi mengaku kecewa dengan sikap pembantu peribadinya (PA) yang didakwa menyeleweng wang hasil titik peluhnya berjumlah RM15,000.

Katanya, walaupun sudah mendengar pelbagai kisah tidak enak mengenai individu tersebut, sebagai majikan, dia tetap berusaha memberikan layanan yang terbaik.

Namun kata Fify, dia tidak menjangka pembantunya itu sanggup mengkhianati kepercayaan yang diberi.

“Kak …. Fify amat kecewa dengan kamu. Tak sangka kak …. Boleh buat Fify macam ni. Saya melayan kamu dengan baik. Gaji semua saya bagi. Apa kamu nak juga saya beri.

“Kerja dengan Fify pula mudah, Fify pun bukan berlagak diva, tak perlu susah-susah buat itu, ini. Tapi kamu sebagai PA kena ada sikap bertanggungjawab,” luahnya hiba di Instagram hari ini.

Pelakon Wira itu berkata, semua sandiwara wanita berkenaan terbongkar selepas wang tersebut terbukti masuk ke dalam akaun miliknya.

“Semua bukti dah ada termasuk penyata bank, 101 peratus memang masuk ke dalam akaun kamu. Kantoi busuk. Kenapa cakap tak dapat duit tu?” soalnya.

Terdahulu, media melaporkan pemilik nama sebenar Nur Afiqah Mohamed Azmi, 32, itu membuat laporan polis mendakwa ditipu pembantu peribadinya.

Fify, 32, memuat naik salinan laporan yang dibuat semalam melalui Insta Story miliknya hari ini.

PA terbabit dipercayai mengambil bayaran hasil titik peluh Fify untuk projek bersama sebuah syarikat produksi senyap-senyap.

Wang tersebut sepatutnya dimasukkan terus ke dalam akaun peribadi Fify, bagaimanapun, wanita berkenaan meminta akauntan syarikat tersebut untuk membuat pembayaran kepadanya.

Meskipun ralat, Fify mengakui dia reda sekiranya sudah tiada rezeki untuk dia mendapatkan kembali wang yang disonglap.

“Saya reda jika ia bukan rezeki saya. Tapi cara kak ni salah. Deal senyap-senyap belakang saya. Sampai hati. Tak boleh buat orang macam ni… salah,” katanya.

Fify pada masa sama menyeru rakan artis dalam industri sama untuk berhati-hati dengan wanita yang dimaksudkan.

“Majoriti kalau sebut nama kak …. Semua mengenali. Kakak terkenal orangnya dalam industri. Tapi industri kita ni kecil.

“Saya mohon agar orang lain berhati-hati dengannya. Dan kak …. Berubahlah. Kalau boleh, biarlah ada hati dan perasaan. Saya kerja sampai tak ada masa untuk diri sendiri,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS