Liyana Jasmay berharap setiap pendatang baru dalam industri bersungguh-sungguh menghafal dan memahami skrip yang ditulis supaya lakonan mereka berupaya memberi impak besar buat penonton.
Pengarah dan pelakon itu mengakui, ketika ini, pihak produksi sukar untuk mendapat pelapis yang benar-benar mampu menjiwai skrip diberikan dengan baik.
“Sebagai pengarah, saya akui agak sukar untuk cari pelakon berbakat seperti Scha Alyahya mahupun Lisa Surihani sekarang.
“Kami sentiasa tercari-cari muka baru yang boleh menyampaikan skrip dan berlakon dengan penuh semangat dan jiwa,” katanya.
Pemenang Pelakon Wanita Terbaik melalui Festival Filem Malaysia ke-22 itu mengakui, sepanjang bergelar pengarah, dia pernah beberapa kali berdepan situasi pelakon baru yang bersikap tidak profesional.
Kata Liyana, 34, antara sikap sambil lewa ditunjukkan ketika bekerja adalah baru hendak menghafal skrip.
“Saya rasa, sikap sebegitu akan mencabar kesabaran sesiapa pun. Saya pula cepat melenting. Jika baru nak hafal skrip di set jangan buat depan pengarah,” tegasnya.
Liyana berkata demikian pada tayangan dan sidang media Histeria The Series yang diadakan di sebuah kompleks beli-belah baru-baru ini.
Drama mendapat arahan pemenang Filem Cereka Terbaik Asia pada Festival Filem Antarabangsa Bangkok James Lee itu berkisahkan pelajar sekolah yang diganggu dengan misteri kematian pelajar 10 tahun lalu.
Drama siri premium yang sedang ditayangkan di Astro Citra itu merupakan kesinambungan daripada filem seram pecah panggung tahun 2008, Histeria, lakonan Scha Al-Yahya, Yana Samsudin, Ady Putra dan Liyana sendiri.
Bagaimanapun, Liyana berkata, dia bersedia untuk membantu meningkatkan ilmu pendatang baru sekiranya mereka menunjukkan kesungguhan dalam melontarkan skrip dengan baik.
Menurutnya, lebih bagus, sekiranya mereka yang baru hendak berjinak-jinak dalam dunia hiburan mempunyai asas dalam bidang lakonan.
“Saya akan push newbies yang dilihat boleh jadi bintang. Saya bersedia untuk bantu mereka jauh ke depan sekiranya nampak ada usaha di situ.
“Dan saya yakin, sekiranya muka-muka baru ni tak main-main ketika bekerja, mereka boleh belajar ilmu lakonan dengan cepat.
“Sebenarnya, wajah mereka yang berbakat inilah wajar diberikan banyak peluang untuk mewarnai industri dan berada di muka hadapan akhbar mahupun sesuatu artikel penulisan,” katanya.