Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Razzuan akur cabaran baru buktikan bakat menyanyi
Diterbitkan:  Jun 5, 2022 2:45 PM
Dikemaskini: 6:45 AM

Buat yang belum mengenali namanya, Razzuan Rosli sebenarnya bukanlah asing dalam industri tanah air.

Langkahnya bermula sebagai pelakon dan pernah menyertai program Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL) pada 2019. Di pentas lakonan, dia sudah membuktikan bakat dimiliki selain kain mengumpul peminat tersendiri.

Namun cabaran baru buat Razzuan Rosli apabila dia berjinak-jinak pula dalam bidang nyanyian melalui single berjudul Akur terbitan Universal Music Malaysia, hasil ciptaan Shah, Tam Cobain, Sin Syim dan lirik oleh Sulu Sarawak.

Menurut Razzuan, Akur siap dirakam pada 2020 namun pelancarannya ditunda tiga kali ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini.

“Jadi perancangannya enam bulan selepas rakam, nak dilancarkan. Tapi tiba-tiba PKP 2.0, jadi tunda dulu. Kiranya, sampai tiga kali juga ditunda untuk dilancarkan.

“Pada masa itu saya fikir mungkin ada sebab dan hikmah semua ini berlaku. Mungkin kalau lancar pada masa itu, saya sendiri tak yakin boleh menyanyi secara langsung sebab saya bukannya penyanyi yang bagus sangat, jadi perlukan banyak latihan.

“Jadi sepanjang dua tahun inilah saya teruskan berlatih dan sekarang sudah ada keyakinan untuk menyanyi lagu ni secara langsung,” katanya.

Razzuan menyifatkan proses rakaman Akur sebagai pengalaman cukup berharga dalam hidupnya.

“Sebab tak pernah tengok orang buat rakaman lagu, malah jauh sekali nak lalui situasi merakamkan lagu sendiri. Jadi, masa nak rakam lagu ini ia pertama kali masuk studio.

“Proses rakaman ambil masa satu hari. Susahlah juga untuk saya, sebab saya bukan penyanyi. Malah menyanyi pun untuk suka-suka. Pendek kata, perlu kerja keras untuk saya siapkan lagu, tapi saya seronok dengan perjalanan ini,” katanya lagi.

Seperti tajuknya, single itu mengisahkan bagaimana pasangan kekasih terpaksa akur dengan keputusan yang dibuat dalam perhubungan mereka.

Menurut Razzuan, proses rakaman video muzik (MV) lagu Akur juga berbeza dengan penggambaran drama yang selalu dilakukannya.

“Untuk MV saya kena miming dan bagi ekspresi. Pengalaman paling tak boleh lupa adalah penggambaran bermula pagi hari ini sampai jam enam pagi keesokan harinya.

“Semua orang penat, tapi tetap bagi komitmen tinggi, terima kasih pada semua pasukan produksi,” katanya.

Pun begitu, setiap cabaran dilalui Razzuan sepanjang menyiapkan Akur memberikannya ilmu baru dalam muzik, termasuk pengalaman bekerja dengan individu bidang tersebut.

“Sebab tak pernah terbabit dengan mana-mana individu dalam bidang muzik.

“Saya mengikuti kelas vokal, bila orang terangkan, saya lambat sikit nak faham dan buat. Selepas tu kena tanya balik.

“Harapan saya besar agar umum boleh terima lagu ni dengan baik. Ini baby pertama saya dalam muzik. Lagu ada korus yang catchy dan mudah didengar. Orang kata lagu ni easy listening,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS