Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Karyawan minta menteri campur tangan isu bayaran royalti
Diterbitkan:  Jun 4, 2022 5:00 PM
Dikemaskini: 9:00 AM

Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) berharap Menteri Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Alexander Nanta Linggi membantu artis menyelesaikan masalah royalti yang sudah berlarutan lebih 20 tahun.

Kata Presiden Karyawan, Freddie Fernandez, hanya menteri yang mampu menyelesaikan masalah itu yang begitu rumit kerana melibatkan penglibatan pelbagai pihak yang mewakili artis dalam hal kutipan royalti.

“Sebelum ini semua usaha yang dilakukan untuk menetapkan satu sistem kutipan dan pengagihan bagi royalti artis tidak begitu berhasil,” katanya dalam satu kenyataan.

Sejarah royalti bagi artis bermula pada 2000 apabila Akta Hak Cipta dipinda untuk memberi perlindungan kepada golongan itu.

Mereka berhak dibayar royalti selepas pencipta dan syarikat rakaman yang diberi perlindungan pada 1987 melalui dua badan iaitu Music Authors' Copyright Protection (MACP) dan Public Performance Malaysia (PPM).

Pada 2001 ditubuhkan sebuah badan yang bernama Performers and Artistes Rights (M) Sdn Bhd (Prism) untuk mewakili artis dalam hal kutipan royalti.

Namun, selepas 10 tahun beroperasi, syarikat itu dibelenggu dengan pelbagai masalah dan akhirnya ditutup apabila pihak yang mengutip royalti bagi mereka iaitu PPM membatalkan kontrak untuk buat membuat kutipan bagi pihak Prism.

Pada 2012, dua lagi badan baru ditubuhkan iaitu Performers Rights and Interests Society of Malaysia Bhd (Prism Bhd) dan Recording Performers Malaysia (RPM).

Malangnya, kedua-dua badan tidak dapat fungsi dengan baik kerana pengguna muzik tidak setuju membayar kepada terlalu banyak pihak.

Menurut Freddie, pada 2016 kerajaan mengaturkan supaya keempat-empat badan yang mengkutip royalti iaitu MACP, PPM, Prism dan RPM digabungkan di bawah satu syarikat iaitu Music Rights Malaysia Bhd (MRM) yang menjadi badan tunggal membuat kutipan bagi keempat-empat badan dengan satu formula perkongsian royalti yang ditetapkan oleh kerajaan.

“Pada 2017 keadaan jadi rumit sekali lagi apabila Prism Bhd diarahkan ditutup oleh mahkamah kerana tidak dapat bayar gantirugi kepada PPM kerana melanggar hak ciptanya.

“Perkembangan ini membawa satu masalah besar kepada lebih 1000 ahli-ahli Prism kerana mereka tidak lagi mempunyai badan yang mewakili mereka dalam hal kutipan royalti,” katanya.

Tambahnya, pada 2020 giliran MRM pula ditutup operasi dan selepas itu setiap badan tiada pilihan selain melakukan kutipan royalti sendiri

“Ahli-ahli Prism Bhd masih lagi harapkan royalti hasil kutipan yang telah dikutip sebelum Prism ditutup tapi atas kehilangan rekod selepas penutupan badan itu ramai ahli belum lagi dapat perolehi royalti hasil kutipan Prism.

“RPM pula menerima bayaran hasil kutipan dari MRM tapi hingga kini belum lagi berjaya mengagihkan dengan sepenuhnya.

“Kami berharap Menteri KPDNHEP Alexander Nanta Linggi akan campur tangan dan bantu menyelesaikan masalah ini dengan menentukan satu kaedah baru agar semua artis, tak kira ahli Prism Bhd atau RPM Bhd disatukan dalam satu badan dan diberi perlindungan kepada karya-karya mereka.

“Itulah jalan terbaik yang kami lihat pada waktu ini,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS