Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Norman ulas dengan ikhlas, bukan sindir sesiapa

Norman Abdul Halim menafikan kenyataan dikeluarkannya kepada sebuah akhbar bertujuan menyindir mana-mana selebriti tanah air yang kini giat menceburkan diri dalam bidang politik.

Ketua Eksekutif KRU Entertainment itu sebaliknya berkata judul artikel yang diterbitkan semalam berhubung “populariti semata-mata tidak memadai untuk berjaya dalam politik” itu diambil di luar konteks.

Menurut Norman, dia diajukan soalan mengapa seseorang artis yang bertanding gagal mendapat kedudukan dalam kerusi dan hanya mengulas secara umum.

“Dan saya menjawab, mungkin antara alasannya kerana mereka masih memerlukan masa untuk built up the base (bina asas sokongan).

“Saya menggunakan diri sendiri misalnya sebagai rujukan dalam berpersatuan untuk menjawab soalan kerana saya tak pernah bertanding dalam politik.

“Misalnya untuk berada di atas atau menjadi presiden persatuan, ada proses, ada elemen pemilihan dan saya juga terlebih dulu bermula dari jawatan yang paling rendah.

“Bagi saya, begitu juga dalam berpolitik dengan membina nama dari bawah, serta dapatkan sokongan dari semasa ke semasa barulah seseorang boleh mengecapi sesuatu kejayaan,” katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Pun begitu, Norman berkata, situasi amat berbeza sekiranya hendak dibandingkan dengan pelakon Dira Abu Zahar yang menjadi selebriti pertama bergelar wakil rakyat selepas menang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) N25- Rim tahun lalu.

Menurutnya, kemungkinan besar Dira memenangi kedudukannya kerana mempunyai asas yang kuat apabila pelakon itu lahir dalam keluarga ahli politik.

Terdahulu, bekas pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional, Hans Isaac memberi reaksi terhadap artikel tersebut dengan berkata dia tidak pernah sesekali menggunakan populariti untuk meraih kepentingan politik.

Hans berkata, dia dan pasukannya bekerja keras untuk ahli akar umbi PKR dengan melakukan lebih 250 kerja-kerja tanggungjawab sosial (CSR) serta berkorban ribuan waktu untuk membantu menyelesaikan pelbagai isu di Ampang.

Tegasnya yang juga pengarah dan pelakon itu, Norman sewajarnya berfikir sebelum mengeluarkan sebarang komen yang tidak berfaedah.

Hans, 50, tewas dalam saingan merebut jawatan Ketua Cabang Ampang bagi pemilihan PKR baru-baru ini.

Namun, Hans sekali lagi mencuba nasib bertanding jawatan ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR bagi penggal 2022-2025.

Sementara itu, pengarah filem Afdlin Shauki Aksan turut mencalonkan diri bersaing jawatan anggota MPP PKR yang akan diadakan pada kongres parti pada 25 Jun ini di IDCC Shah Alam.

Afdlin sebelum ini bertanding namun gagal dalam pemilihan Ketua Cabang PKR Setiawangsa.

Norman berkata, sejujurnya sebagai rakan artis, dia sendiri seboleh-bolehnya mahu melihat ada dalam kalangan selebriti yang bertanding itu memperoleh kejayaan.

“Saya gembira apabila melihat ada muka-muka baru yang bertanding, cuma mereka belum berjaya. Saya tak nafikan, Hans banyak hulurkan sumbangan di Ampang,” katanya.

Norman pada masa sama mencadangkan agar selebriti yang ingin menceburi bidang politik melihat sesuatu isu dari sudut yang lebih luas, bukannya dalam industri kreatif semata-mata.

Katanya, ia bertujuan meraih sokongan awam yang lebih banyak.

“Bila jadi ahli politik, kena menyelesaikan isu selain dalam industri kreatif yang akan memberi kepentingan secara menyeluruh untuk orang awam misalnya kepada pemandu teksi atau nelayan.

“Kena ada pandangan holistik sebab mereka bukan artis lagi,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS