Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
‘Rompak’ filem pertama di Asia Tenggara jual NFT
Diterbitkan:  Jun 3, 2022 3:32 PM
Dikemaskini: 7:32 AM

Sesuai dengan arus teknologi dunia, permintaan terhadap karya seni dalam bentuk Non-Fungible Token (NFT) semakin meningkat dan penggunaan teknologi berasaskan blok rantaian semakin mendapat perhatian termasuk selebriti dan jenama terkemuka.

Selebriti dan atlet terkenal luar negara seperti Justin Bieber, Eminem, Lionel Messi, Paris Hilton dan Snoop Dogg antara yang membabitkan diri dalam dunia NFT.

Malaysia sendiri turut mengorak langkah menjadikan NFT sebagai dagangan utama yang menyaksikan token digital sebegini membolehkan sesiapa saja menjual dan membeli hak milik aset digital.

Rompak terbitan Intraday.my misalnya, melakar sejarah tersendiri apabila menjadi filem pertama menjual NFT.

Menurut letua pegawai eksekutifnya, Moshed Mohamad berkata sudah tiba masanya NFT diterima dan diguna pakai di negara ini.

“Karya digital mudah dicuri sesiapa dengan kepesatan teknologi sekarang. Ada saja pihak yang sewenang-wenang merompak tanpa memberikan kredit atau maklumat sumber diperoleh.

“Jadi melalui penggunaan NFT itu, karya seni ini boleh dilindungi dan disifatkan sebagai aset yang ada nilai tersendiri,” kata Moshed.

Tambah Moshed, NFT terikat dalam kontrak yang berada dalam blok rantaian sampai bila-bila.

Katanya, pengguna atau peminat juga mempunyai hak milik tertentu ke atas karya filem itu  bergantung cara pemilikan yang ditentukan pihak penerbitan.

“Kita boleh menjejaki siapa pemilik asalnya menerusi NFT. Blok rantaian itu pula dilihat seperti kod di mana orang luar dapat lihat dan tahu ia kepunyaan siapa.

“Seperti projek filem Rompak, kita keluarkan NFT yang dipanggil sebagai pemegang projek. Bererti mereka yang menyokong filem ini, kita boleh kesan mereka.

“Mereka yang beli dan memiliki NFT filem ini juga dapat merasakan ia seperti karya kepunyaan mereka. Malah mereka juga mendapat manfaat termasuk keuntungan 20 peratus daripada royalti filem apabila ia ditayangkan nanti,” katanya.

Jualan NFT itu dilancarkan pada sesi jualan peribadi pada Januari lal dan jualannya kini RM1 juta.

Hanya 2,000 Kad NFT dikeluarkan secara eksklusif, dijamin blok rantaian Polygon. Ia dijual di portal jual beli NFT Open Sea.

Filem yang dibintangi Zizan Razak, Tony Eusoff, Daiyan Trisha, MK K-Clique, Azhar Sulaiman, Ezlyyn, Niezam Zaidi, Siti Khadijah Halim dan Chubb E itu filem pertama di Asia Tenggara yang menjual NFT. 

Rompak mengangkat tema penipuan yang seringkali berlaku di kalangan masyarakat negara ini. Ia akan ditayangkan di Astro First bermula 16 Jun ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS