Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Nasir 'jamin' konsert persembah legasi terbaik Search

Konsert Endemik Search yang akan diadakan esok, selama dua hari berturut-turut di Zepp Hall Kuala Lumpur nanti adalah penerus karya Search, kata pemain bass kumpulan rock itu, Nasir Daud.

Menurutnya, konsert yang ditunggu-tunggu itu adalah saat peminat dapat menyaksikan gabungan “monster-monster” legenda rock bersatu kembali demi kelangsungan band tersebut.

Bagi Nasir, nama-nama besar yang kini membarisi Search seperti Amy (vokalis), Hillary Ang (gitar) dan Man Kidal (gitar) semuanya sudah sebati dengan Search.

“Amy bakatnya tidak perlu dipertikai, Hillary Ang pernah bersama Search sejak dari awal, manakala Man Kidal (gitaris) pula nama yang tak asing lagi dalam band.

Single Endemik

“Saya dan semua monster-monster ni buat aku janji untuk memelihara legasi Search sebaik mungkin. Pengisian konsert adalah akar dan kekuatan kumpulan kami.

“Selagi kami diberikan kesihatan tubuh badan, selagi itulah kami akan terus berkarya mengikut kemampuan,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Tambahnya, konsert itu juga bakal menjadi momen pertama peminat menikmati bukan satu tetapi dua buah tangan terbaru Search berjudul Endemik sekali gus.

Katanya, idea mewujudkan single berkenaan adalah bersempena pelbagai dugaan yang ditempuhi ketika peralihan musim dari pandemik ke endemik.

“Endemik I dan Endemik II hadir sebagai terjemahan berhubung penderitaan dan keperitan dilalui warga dunia sewaktu pandemik.

“Ketika itu, begitu ramai orang kehilangan insan tersayang, kerjaya, perniagaan diusahakan, justeru Search ingin mengajak peminat bersama-sama membayangkan kita melangkah keluar dari zon pandemik pada malam konsert itu berlangsung.

“Untuk lagu Endemik I yang berdurasi empat minit, ia fast song, manakala Endemik II, berdurasi enam minit, ia berentak agak perlahan tapi mempunyai unsur Mediterranean dan rock klasik.

“Orang zaman sekarang biasanya dah tak buat lagu panjang-panjang, tapi kami buat bagi mengimbau zaman lalu,” tuturnya.

Jurutera bunyi terbang dari Tokyo

Konsert anjuran LOL Asia itu bakal berlangsung di dalam dewan bersaiz 6,500 meter persegi di pusat ibu kota.

Walaupun berkapasiti 2,400 tempat duduk, LOL Asia hanya menjual 1,600 tiket persembahan untuk satu malam sebagai sebahagian daripada prosedur operasi standard bagi mengurangkan risiko Covid-19.

Nasir juga menyatakan keterujaannya dengan kehadiran jurutera bunyi iaitu Akira Yamauchi yang diterbangkan dari Tokyo tiga hari lalu ke negara ini bagi memastikan kualiti Konsert Search Endemik berada pada tahap tertinggi.

“Tak sabar untuk buat persembahan, kami semua dah bersiap-siaga dan ambil serius untuk konsert ni. Akira turut menyertai kami sewaktu sesi latihan.

“Pasukan kami bertambah solid dengan adanya Akira. Dia ibarat pembakar semangat kami. Akira jurutera bunyi yang pernah bekerja di belakang tabir dengan Search cuma mungkin segelintir orang tak kenal dia.

“Sekiranya mood baik, Amy berkata; mungkin akan ada penambahan dua lagi lagu menjadikan kesemuanya berjumlah 22 karya untuk dipersembahkan berbanding 20.

“Tak lupa juga penghargaan saya untuk isteri Amy, Nourish (Norhasniza Hassan) yang giat membantu segala urusan bagi melancarkan perjalanan konsert,” jelas Nasir.

Selain itu, posisi pemain dram yang diisi oleh Arthur Kam membayangkan Konsert Search Endemik bakal melakar sejarah tersendiri apabila dia dilabel Nasir sebagai sessionist yang mempunyai drum stroke hampir sama dengan Allahyarham Yazit Ahmad.

Yazit (gambar, atas), yang juga pengasas Search meninggal dunia pada 26 September 2019.

Menurut Nasir, adik kepada pemain keyboard Genervie Kam yang juga isteri kepada penyanyi Hazama itu bukan calang-calang orangnya.

“Selain kakaknya yang akan mengendalikan beberapa alat muzik di konsert tu, kami amat berpuas hati dengan prestasi Arthur.

“Arthur mempunyai sekurang-kurang 90 drum stroke seperti arwah Yazit. Kami yakin dia akan memberikan persembahan yang mantap,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif LOL Asia, Rizal Kamal berkata, tiket untuk esok, laris hingga 90 peratus manakala sebanyak 75 peratus pula habis terjual untuk Ahad.

“Masih terdapat tiket dijual dalam kadar terhad. Tapi kesemua tempat duduk VIP habis dijual,” katanya.

Untuk rekod, Search yang terbahagi kepada dua bakal tampil dengan dua konsert dalam seminggu.

Search yang dianggotai Noordin (gitar), Kid (gitar), Yan (bass), Denden (penyanyi) dan Minn (dram) akan beraksi di Konsert Search Rockin' On Rooftop di bumbung Kompleks Campbell, Jalan Dang Wangi pada 11 Jun ini, seminggu selepas Konsert Search Endemik berlangsung.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS