Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Perjati, rakan artis bantu OKU jalani kehidupan lebih baik

Persatuan Kebajikan Insan Istimewa Jati Diri (Perjati) yang diasaskan oleh Noorhidayah Azmi dan rakan artis lain sentiasa tekal membantu golongan orang kelainan upaya (OKU) untuk menikmati kehidupan lebih baik.

Noorhidayah yang juga penaung Perjati berkata, golongan OKU turut berdepan dugaan apabila negara dilanda wabak Covid-19 sehingga menjejaskan kelangsungan hidup mereka.

“Perjati ditubuhkan pada September 2020 selepas saya dipelawa pemilik jenama fesyen Razman Razmi, iaitu Razman Din.

“Kami lihat ramai OKU bekerja sendiri seperti berniaga. Apabila dunia dilanda pandemik Covid-19, mereka pun tak dapat bekerja dan bantuan pula lambat diterima.

“Apabila Razman tampil menyampaikan keluhan mereka, kami anggap ia menjadi tanggungjawab kami untuk membantu apa yang mampu,” katanya ketika ditemui pada majlis sambutan Aidilfitri yang diadakan di Keramat, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Noorhidayah juga bersyukur kerana ramai selebriti yang berkemampuan tampil memberikan sokongan antaranya Shuib Sepahtu dan isterinya, Allahyarham Siti Sarah Raisuddin.

“Secara jujur Allahyarham Siti Sarah antara individu yang banyak membantu persatuan ni,” katanya.

Selain itu, rakan artis yang turut bermurah hati menghulurkan bantuan adalah Ayu Damit, Wawa Zainal, Shuk Sahar dan badan dinaungi Neelofa, Pertubuhan Kasih Neelofa.

Susulan bantuan dan sokongan ramai, Perjati yang dulu hanya memiliki 50 ahli kini meningkat kepada 175 ahli.

Menurut Noorhidayah, kehadiran Razman memudahkan lagi Perjati untuk meraih sokongan dan bantuan ketika memerlukan kerana ramai rakan-rakan artis mempunyai hubungan baik dengan pereka berkenaan.

“Bukan mudah untuk cari sokongan. Mungkin hubungan yang dibina berlandaskan kepercayaan itu menyebabkan lebih mudah untuk mereka turut serta.

Shuib dan Allahyarham Siti Sarah

“Saya yakin, kesedaran masyarakat juga lebih tinggi. Sebab tu, ramai berebut-rebut nak membantu.

“Walaupun nampak kecil, kami sangat hargai setiap bantuan dan sokongan yang dihulurkan. Ia mampu menceriakan dan membahagiakan golongan OKU,” katanya lagi.

Pada masa sama, Noorhidayah berharap Perjati dapat membantu lebih ramai golongan OKU untuk mendapatkan peluang pekerjaan pada masa depan.

Katanya, dengan peluang pekerjaan, mereka mampu menjalani kehidupan yang lebih baik.

“Sampai bila mereka perlu bergantung harap pada bantuan. Kami akan cuba membantu dari segi peluang pekerjaan, Insya-Allah,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS