Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
'Benar sekali iman tidak dapat diwarisi, dijual beli...'
Diterbitkan:  May 25, 2022 3:05 PM
Dikemaskini: 10:56 AM

Penceramah bebas dan ahli akademik, Ridhuan Tee Abdullah, akhirnya tampil bersuara mengulas isu kontroversi membabitkan anak lelakinya, Syafi Tee, yang didakwa bercium dengan sseeorang.

Kenyataan itu hadir selepas lima hari dia berdiam diri ekoran terlibat dalam Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu dan membentang kertas kerja mengenai bahasa Melayu.

Kata Ridhuan, apa yang berlaku itu adalah ujian daripada Allah dan pada masa sama akan mematangkan individu yang sedang diuji.

“Benar sekali, iman tidak dapat diwarisi. Tidak dapat dijual beli. Semoga semua ini tidak terjadi kepada kalian semua.

"Ya, saya akui saya ada kelemahan. Saya tidak sempurna. Sedangkan Nabi Nuh pun tidak mampu untuk menyelamatkan anaknya, inilah pula diri saya, hamba Allah yang hina-dina ini," katanya.

Tambah Ridhuan lagi dia sudah cuba melakukan apa yang terbaik untuk mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini membabitkan semua enam anaknya.

Begitu juga, katanya, untuk semua saudara-maranya.

"Selebihnya saya berserah, saya pasrah," katanya.

Pastikan boleh bawa ke syurga

Menurut Ridhuan lagi, dugaan yang berlaku itu adalah pengajaran dan sedikit pun tidak menghalangnya daripada terus menjalankan kewajiban sebagai seorang Muslim untuk mengajak ke arah kebaikan dan menjauhkan kemungkaran.

Pada masa sama dia berkata, para ilmuan dan ulama tidak wajar berdiam diri daripada menegur gaya kehidupan seseorang termasuk artis.

“Umat Islam hari ini, terutama anak-anak Melayu Islam kita perlu diselamatkan, meskipun yang terpaksa diselamatkan itu anak sendiri.

“Ambil iktibar apa yang berlaku di Indonesia, ada segelintir ulama dan ilmuan berdiam diri, tidak menegur kehidupan artis, akhirnya ramai artis tersasar.

“Apakah kita mahu itu juga berlaku kepada artis-artis kita? Mereka mesti diselamatkan, jika tersasar kerana itu tanggungjawab kita semua,” katanya.

Baru-baru ini, tular satu video memaparkan seorang lelaki yang didakwa sebagai Syafi bercium dengan kekasihnya. Perkongsian itu mengundang kecaman hebat netizen.

Tahun lalu, nama pelakon itu turut menuai kontroversi apabila video dia berpelukan dengan seorang menjadi tular.

Kata Ridhuan anak keduanya itu memang lebih meminati bidang seni, dan sebagai bapa dia sudah memberikan nasihat sepatutnya.

“Sebagai bapa saya telah menasihatinya tentang dunia seni, yang telah saya ceburi semenjak memeluk Islam lebih 30 tahun. Cuma bezanya seni saya adalah seni artis ilmuan, manakala anak memilih seni artis hiburan.

“Saya tidak melarang, cuma mengingatkan agar pandai membawa diri. Pastikan bidang seni hiburan boleh membawa kita ke syurga.

“Pastikan seni dapat mendidik anak bangsa. Titipan demi titipan. Namun, apa kan daya Allah mahu menguji hamba-Nya yang kerdil ini.

“Saudaraku, pastikan apa yang menimpa kepada diri saya, tidak berlaku kepada saudaraku semua,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS