Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Tarikh konsert sama: Aishah tak mahu peminat berpecah

Disebabkan bertembung tarikh dengan konsert Anuar Zain & Ziana Zain Live In Kuala Lumpur 2022 penyanyi Aishah mengambil keputusan beralah dan bercadang meminda persembahan konsert solonya ke tarikh lain.

Alasan Aishah, dia tidak mahu peminat seni suara berpecah-pecah seperti keadaan orang ramai pergi mengundi dalam pilihan raya.

Walaupun yakin setiap seorang sudah ditakdirkan rezeki masing-masing, kata penyanyi itu, dia rela ‘beralah’ memandangkan industri hiburan khususnya seni suara di negara ini bukanlah besar.

“Tak kasihankah melihat peminat berpecah. Saya yakin ada antara peminat saya turut mengemari Anuar dan Ziana.

“Lagi pun kita bukan nak pergi mengundi, justeru saya amat berharap tarikh (konsert solonya) dapat dipinda.

“Kita juga baru saja dalam fasa peralihan pandemik, semua orang mencari rezeki,” katanya.

Kata pemilik nama penuh Wan Aishah Wan Ariffin itu, ketika ini Dewan Filharmonik Petronas (DFP) sedang memuktamadkan cadangan meminda tarikh berkenaan iaitu dari 6 Ogos ke suatu tarikh yang lebih sesuai.

“Mujur tiket jualan belum dibuka,” katanya.

Aishah berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran single terbaru, Ketentuan Takdir, di pejabat Universal Music Malaysia di Petaling Jaya hari ini.

Ketentuan Takdir adalah lagu hasil ciptaan Chevy Amry dan lirik oleh Habsah Hassan.

Penyanyi pop legenda tanah air itu dijadual tampil dalam konsert yang dipimpin Ahmad Muriz menerusi konsert solo Aishah & MPO: A Symphonic Rendezvous pada malam 6 Ogos nanti.

Namun pada tarikh berkenaan juga pasangan adik-beradik Ziana dan Anuar Zain akan mengadakan konsert mereka.

Pada masa sama, Aishah sendiri mengakui dia juga merupakan salah seorang peminat pasangan adik-beradik berkenaan.

“Saya juga sebenarnya tak mahu ketinggalan untuk menyaksikan persembahan mereka berdua," katanya.

Tambah penyanyi Janji Manismu itu lagi lebih baik ada pihak yang beralah apabila dua persembahan dijadual diadakan pada hari yang sama.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS