Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Konsert bersama Ziana-Anuar hadiah buat peminat

Bagai mimpi menjadi kenyataan, demikian luahan pasangan adik-beradik popular, Ziana Zain dan Anuar Zain yang mengumumkan kolaborasi ditunggu-tunggu peminat melalui Konsert Anuar Zain & Ziana Zain Live In Kuala Lumpur 2022.

Anuar menyifatkan peluang dan kepercayaan yang diberikan penganjur sebagai satu penghormatan buat mereka berdua malah mengakui teruja terutama apabila dimaklumkan tiket sedang laris dijual sebaik kaunter pembelian dibuka.

“Saya bersyukur di atas kepercayaan yang diberikan kepada kami. Kami mengambil peluang ini untuk bertemu dan menghiburkan peminat yang sekian lama menginginkan persembahan kami berdua.

“Konsert berskala besar ni bakal menjadi momen kolaborasi indah buat saya dan kakak yang sekian lama berada dalam industri,” katanya.

Anuar dan Ziana ditemui pada sidang media konsert berkenaan yang berlangsung di Hotel Le Meridien, Kuala Lumpur semalam.

Konsert yang dibawakan oleh Trumpet International Sdn. Bhd itu dijadual berlangsung di Kuala Lumpur, 6 Ogos ini bertempat di Plenary Hall, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Persembahan yang berdurasi 90 minit itu akan menyaksikan kedua-dua penghibur mempersembahkan lagu-lagu malar segar dan popular yang menjulang nama mereka dalam persada seni tanah air selama ini.

Tiket Anuar Zain & Ziana Zain Live In Kuala Lumpur 2022 dijual pada harga bermula RM288, RM588, RM788, RM988 sehingga RM1,188. la bole dibeli secara talian (online) di www.excitix.com.my mulai jam 3 petang semalam.

Menariknya, sebaik penjualan dibuka tepat jam 3 petang semalam, sebanyak 50 peratus tiket berjaya dijual sementara tiket berharga RM288 habis dalam tempoh tiga jam.

Bagi Ziana, Anuar Zain & Ziana Zain Live In Kuala Lumpur 2022 adalah sebuah hadiah kepada peminat sepanjang pembabitan mereka sebagai penggiat seni.

“Konsert ini akan menjadi golden moment bukan saja buat peminat tapi kami dua beradik.

“Kami sangat berterima kasih kepada penganjur, Trumpet International Sdn Bd yang berani mengetengahkan Anuar dan Ziana Zain dalam konsert ini pada saat dunia hiburan tempatan kita baru ingin giat semula,” kata pelantun Madah Berhelah itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS