Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Kazim bimbang hilang dari dunia dakwah lepas diuji 'penyakit misteri'
Diterbitkan:  May 19, 2022 2:05 PM
Dikemaskini: 8:51 AM

Pendakwah bebas Mohd Kazim Elias meluahkan rasa bimbang mengenai kemungkinan dia akan 'hilang' dari dunia dakwah jika dia terus menanggung derita akibat penyakit misteri yang dialaminya.

Kenyataan itu diluahkan melalui media sosial hari ini, tidak sampai 24 jam selepas dia memohon bantuan orang ramai untuk mencari penawar kepada penyakit berkenaan.

Menurut Kazim, selama lapan bulan dia berusaha untuk mencari penawar melalui kaedah rawatan moden dan tradisional namun ia belum membuahkan hasil.

Justeru, katanya, sukar untuk dia menyembunyikan lagi penyakit misteri dialami itu daripada pengetahuan umum.

“Ini keadaan muka saya sekarang dan selama ni saya sembunyikan melalui tampalan apabila muncul di khalayak. Sakit, gatal, gelisah, pedih dan pelbagai perasaan saya tak boleh lagi saya sorok.

“Terima kasih pada yang sudi menawarkan bantuan dan nasihat kesihatan kepada saya. Saya dah berusaha berubat di banyak tempat tapi belum diberi keizinan oleh Allah (untuk sembuh).

“Saya tak boleh tidur seharian sejak berbulan yang lepas. Saya bimbang dengan keadaan ni, ia akan menghilangkan saya dari dunia dakwah saya,” katanya.

Jelasnya, penyakit dialami itu mengganggu rutin hariannya sebagai pendakwah terutama apabila dia tidak dapat menahan kepedihan dan kesakitan yang ditanggung dari semasa ke semasa.

Mohd Kazim juga berkata, ada ketikanya dia terpaksa meninggalkan lokasi ceramah dalam keadaan tergesa-gesa sehingga dilabel sebagai sombong gara-gara masalah kesihatan yang menganggunya.

Pun begitu tambah tokoh yang pernah ditawarkan menjadi anggota Majlis Tertinggi Umno itu, walaupun sakit dia tetap menerima jika ada jemputan untuk menyampaikan ceramah.

“Walaupun kadang-kadang dilabel sombong kerana tak beramah mesra dengan mendengar pendapat dulu, saya tetap tabahkan hati sebab tahu orang ramai tak tahu keadaan sebenar saya,” katanya.

Tambah Mohd Kazim, penyakit dialami itu menyebabkan dia luka bukan hanya di muka tetapi seluruh badan dan ia boleh mengeluarkan darah secara tiba-tiba.

“Saya rasa saya perlukan pertolongan (daripada) sesiapa baik doktor atau daripada perubatan alternatif untuk merawat saya.

“Saya juga memohon maaf jika selama ini perkataan dan tingkah laku saya mengguris hati anda,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS