Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Pemalu halang Amelina jadi perigi mencari timba

Biarpun tidak menutup pintu hatinya untuk kembali berumah tangga, penyanyi dangdut Amelina tekal berpegang pada pepatah lama: usah perigi yang mencari timba.

Dia yang selesa membahasakan dirinya Kak Long, berkata, sifat pemalu menyukarkan dirinya untuk bertemu dengan calon baru selepas rasmi bercerai kira-kira enam tahun lalu.

“Kalau boleh biarlah lelaki yang datang mendekati Along. Along memang tak pandai (nak mengorat). Along juga tak berasa yakin (untuk berbuat demikian).

“Mungkin orang lelaki akan ingat Along garang, tapi sebenarnya dah habis manja dah tu, sampai kadang-kadang ada orang anggap Along bukan wanita tulen ketika muncul di aplikasi Bigo,” ujarnya berseloroh.

Namun, pemilik nama sebenar Norazlina Amir Sharipuddin itu menolak sebarang persepsi yang mendakwa dia seorang cerewet untuk memilih jodoh.

Menjelaskan hal tersebut, kata penyanyi Memori Daun Pisang itu, masalah rabun mata yang dihidapinya sejak sekian lama turut menambah kesukaran untuk mendekati seseorang yang tidak dikenali.

Tambah Amelina, 47, daripada cakap-cakap belakang yang diterimanya, timbul pula dakwaan dia dilihat seperti seorang wanita yang berlagak sombong.

“Kak Ifa (Raziah) dan Mas Idayu bercerita, kata mereka, ada pihak tuduh saya sombong, walhal saya sebenarnya memang tak nampak sesiapa yang lalu depan saya kerana pandangan kabur.

“Saya cuma bayangkan orang memang tak peduli nak bercakap dengan saya, tak sangka pula mereka anggap saya ni sombong.

“Saya pula tak selesa nak memakai cermin mata, nanti dilihat seperti guru besar pula malah belum bersedia untuk menjalani rawatan laser kerana faktor kos,” katanya.

Diketawakan anak sendiri

Amelina berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran program Karaoke Superstar oleh Astro yang berlangsung di sebuah kompleks beli-belah di Kuala Lumpur Jaya kelmarin.

Seramai 20 orang selebriti bakal bertanding mempersembahkan kehebatan bakat nyanyian serta pengetahuan masing-masing bagi mengumpul markah sehingga akhir pertandingan untuk memenangi trofi emas Karaoke Superstar.

Amelina diundang bersama bekas peserta Gegar Vaganza, Mus, untuk minggu kelapan program berkenaan yang akan bersiaran setiap Ahad mulai 5 Jun ini, jam 9.00 malam menerusi saluran Astro Ria (104) serta turut boleh distrim menerusi On Demand di Astro Box dan aplikasi Astro GO.

Untuk rekod, perkahwinan Amelina dengan usahawan, Reduan Mahamood, berakhir dengan perceraian sejak 29 Jun 2016. Hasil perkongsian hidup itu, mereka dikurniakan enam anak, Puteri Nur’ Athirah, 21; Putera Al’ Affiq, 20; Putera Al’ Asyraff, 19; Puteri Nur’ Asyurah, 17; Putera Al’ Arffa, 15; dan Putera Al’ Amzar, 13.

Jelasnya, rabun mata itu juga menyebabkan dia sering ditertawakan oleh anak-anak apabila menyatakan dirinya berkenan selepas melihat seseorang.

“Bila saya cakap; eh eloknya… nanti anak-anak menoleh dan melihat si dia, lepas tu mereka berpandangan sesama sendiri dan jawab: 'biar betul mak ni…' sambil ketawa berdekah-dekah,” ujarnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS